UKM Bersedia Menjadi Universiti ASEAN – NC

5
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto: Ikhwan Hashim, Izwan Azman

BANGI, 15 Oct 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) komited menjadi sebuah universiti ASEAN dengan mempelopori pelbagai program untuk para pelajar di Malaysia dan negara anggota lain.

Bagi pelajar yang berdaftar di UKM berpeluang mengikuti program yang membabitkan kepimpinan serta pertukaran kredit di kalangan 30 universiti dalam gagasan tersebut, kata Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dalam kata-kata aluannya pada sambutan Hari ASEAN Ke-48  di sini hari ini.

“UKM adalah universiti ASEAN untuk memastikan warga UKM menghayati semangat ASEAN,” kata beliau.

Ini bagi persediaan apabila ASEAN menjadi satu ekonomi menjelang tahun 2016 yang mana pelajar-pelajar universiti dalam rantau ini dapat bertukar ke institusi di negara jiran, ujar beliau

“Pihak kerajaan dengan kerjasama rakan ASEAN yang lain sedang menyediakan Pelan Tindakan ASEAN 2016-2015 yang meliputi perkara penting dengan politik dan keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya. Pelan ini boleh kita guna sebagai garis panduan untuk perancangan masa depan negara kita dengan negara-negara jiran serantau,” beliau menjelaskan.

Prof Noor Azlan menyeru para pelajar supaya mengenali dengan lebih dekat lagi negara-negara jiran dalam konteks Komuniti ASEAN.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi Jabatan Penerangan, akan bekerjasama dalam bidang pendigitalan buku dan mewujudkan ‘Internet Protocol Television’ (IPTV) bagi menawarkan siaran televisyen dalam talian dengan negara rakan ASEAN.

Usaha tersebut adalah bagi menggalakkan pertukaran penerangan dan data antara negara-negara jiran, kata Ketua Setiausahanya Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Teks ucapan Dr Sharifah Zarah dibacakan ketika perasmian upacara tersebut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM Datuk Che Azemi Haron ketika perasmian acara tersebut anjuran Jabatan Penerangan, UKM dan KKMM.

Menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula, katanya pertukaran berita, penerbitan program sukan dan dokumentari, penerbitan animasi dan filem bercirikan budaya negara masing-masing akan diberi nafas baharu supaya lebih interaktif serta capaian lebih luas.

Katanya, Kementerian juga merancang mengadakan kerjasama strategik dengan China, yang merupakan rakan dialog ASEAN, bagi penganjuran  bersama Pesta  Filem dan Televisyen ASEAN-China.
Dr Sharifah Zarah berkata Malaysia juga komited dalam penyediaan draf rangka Pelan Induk ICT ASEAN (2016-2020) yang dijangka dilancarkan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (Telmin) ke-15, November ini.

Selain menyumbang US$500,000 bagi Tabung ICT ASEAN, kementerian juga bersetuju melaksanakan dua projek iaitu fasa kedua  Rancangan meningkatkan Kapasiti Jalur Lebar dalam ASEAN dan  Majlis Bertindak Jaringan Keselamatan ASEAN, katanya.

“KKMM selaku Pengerusi ASEAN Committee on Culture and Information (ASEAN-COCI) diamanahkan untuk menjayakan beberapa projek berimpak tinggi, antaranya ‘ASEAN Editors Dialogue’ dan ‘Colours of ASEAN Second Series’.

“KKMM juga menyumbang secara aktif dalam penyemakan semula dokumen ASEAN Strategic Plan for Information and Media 2016-2025 yang bertindak sebagai panduan ke arah pembangunan dan kerjasama dalam sektor media dan penerangan bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Mengenai Sambutan Hari ASEAN Ke-48 hari ini, Dr Sharifah Zarah berkata program tersebut diadakan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar dan belia berkenaan penubuhan ASEAN sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“Cabaran kita sekarang, ramai beranggapan semangat ASEAN hanya dalam kalangan pemimpin dengan pemimpin dan bukan di peringkat rakyat dengan rakyat. Masih ramai rakyat kita tidak faham atau tahu berkaitan ASEAN.

“Adalah menjadi harapan pemimpin ASEAN supaya semua rakyat ASEAN mengambil ‘ownership’ kepada ASEAN.

Maka, kita perlu melaksanakan program khususnya kepada golongan muda supaya mereka mempunyai sifat ‘sense of belonging’ mengenai ASEAN,” katanya.

Sambutan Hari ASEAN ke-48 bertemakan ‘Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita” juga bertujuan untuk meluaskan pengetahuan skop kerjasama dalam ASEAN dan memberi kesedaran tentang peranan masyarakat dalam menyokong usaha kerajaan memantapkan hubungan diplomatik dengan negara jiran.

Antara pengisian sambutan kali ini termasuk pameran berkaitan ASEAN, Forum ASEAN, kuiz ASEAN dan CHALK (chat, listen & knowledge) serta edaran bahan informasi berkaitan ASEAN kepada orang ramai.ukmnewsportal-bm

2

3

4