UKM Cemas Sebelum Ungguli Kejohanan Kriket Undangan Universiti Antarabangsa 2015
Oleh Suhaimi Suliman (Pegawai Belia dan Sukan UKM)
Foto Pusat Sukan
BANGI, 23 Okt 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus menguasai saingan Kejohanan Kriket Undangan Universiti Antarabangsa 2015 apabila menang tipis dengan dua wiket ke atas pendatang baru, BMS Northumbria University dari Sri Lanka dalam babak akhir di Bayuemas Oval, Klang pada 17 Oktober.
BMS Northumbria University yang memukul dahulu bergaya pada kedudukan 80-1 dalam 10 ‘over’ pertama tetapi pengumpulan larian agak perlahan melepasi 20 over.
Pelawat hanya melakukan 173 setelah menamatkan pukulan dalam 38.3 over.
Namun demikian, keghairahan UKM selaku juara bertahan tersekat setelah kehilangan wiket pertama dalam over awal yang seterusnya mencemaskan keadaan apabila hujan menghentikan perlawanan buat sementara.
Dengan sasaran 155 larian untuk menang dalam 31 over, para pemain memastikan kejuaraan masih milik tuan rumah apabila melengkapkan 155-8 dalam 30.1 over.
Fikri Makram Rosdi (UKM) nobatkan pemain terbaik babak akhir sementara Saud Shakeel (Sir Syed University of Engineering, Pakistan) diisytiharkan pemain terbaik kejohanan.
Majlis Menyaksikan Babak Akhir dan Penyampaian Hadiah diserikan dengan kehadiran Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Madya Dr Tajul Arifin Muhamad, Pengarah Pusat Sukan UKM serta Ahli Majlis Kriket Melayu Encik Nik Anuay Abdullah.