UKM-CIMB Islamic Bantu Anak Orang Asli Ke Sekolah
Berita dan Foto oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti
BANGI, 8 April 2019 – Usaha Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, CIMB Islamic dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akhirnya membuahkan hasil apabila seramai 16 anak orang asli di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan dapat menimba ilmu di sekolah harian.
Daripada jumlah itu, seramai 14 kanak-kanak orang asli telah memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis, manakala dua orang lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra I.
Kesemua kanak-kanak tersebut dibawa oleh UKM dan Selangor Rescue Adventure Team pada 25 Februari 2019 dengan menaiki sembilan buah pacuan empat roda dari Kampung Gob ke Gua Musang yang memakan masa lapan jam.
Ketika tinjauan UKM di Pos Gob pada Jun 2016, rata-rata ibu bapa menyatakan mereka tidak bersedia melepaskan anak-anak seawal tujuh tahun untuk tinggal di asrama, ditambah pula dengan ‘Tragedi Tohoi’ yang berlaku pada tahun 2015 menambahkan lagi kebimbangan mereka.
Dengan kerjasama UKM, CIMB Islamic dan JAKOA, Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic telah ditubuhkan bagi mengembalikan kemahuan dan semangat anak-anak orang asli untuk bersekolah selain memfokuskan aspek kesihatan dan sosioekonomi bagi manfaat komuniti orang asli secara keseluruhan.
Usaha UKM dalam membantu pendidikan di Pos Gob disambut baik oleh komuniti di sana dan mereka telah membina sebuah bangunan menggunakan bahan-bahan hutan untuk dijadikan pusat belajar.
UKM juga telah melantik lapan orang belia di Pos Gob sebagai tenaga pengajar manakala satu jawatankuasa pemegang amanah telah ditubuhkan bagi mengawalselia perjalanan Pusat Pendidikan Komuniti tersebut.
“Pusat Pendidikan Komuniti itu telah berjaya menterjemahkan from zero to hero seterusnya dapat mengubah perspektif dan taraf hidup komuniti Orang Asli di Pos Gob,” kata Pengarah UCTC, Prof Datuk Dr Rokiah Omar.