UKM dalam kalangan 200 Universiti Terbaik di Dunia


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi dan Izwan Azman

PUTRAJAYA, 11 Jun 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus gemilang di persada antarabangsa apabila menduduki tangga ke 184 terbaik dunia dalam penarafan QS World University Ranking 2018/2018 yang diumumkan baru-baru ini.

Peningkatan sebanyak 46 anak tangga itu meletakkan UKM berada dalam kategori satu (1) peratus universiti teratas di dunia.

Naib Canselor, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, UKM yakin pencapaian itu mencerminkan kecemerlangan universiti dalam konteks yang lebih menyeluruh, khususnya dalam menyumbang kepada matlamat pembangunan negara dan peningkatan kesejahteraan kehidupan masyarakat.

“UKM amat berbangga kerana universiti yang berumur 48 tahun kini berada bersama universiti yang lebih tua dan lebih terkemuka di dunia.

“Alhamdulillah, kita telah mencapai sasaran awal dalam penarafan ini berbanding target yang kita buat. Kecemerlangan ini (peningkatan penarafan) adalah hadiah manis kepada UKM yang akan menyambut ulang tahun ke 50 dua tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut dapat dilihat dengan peningkatan yang konsisten sepanjang empat tahun kebelakangan ini yang menyaksikan UKM berada dalam kategori satu peratus universiti teratas dunia.

Katanya, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama dan komitmen yang tinggi oleh semua warga UKM, termasuk ahli akademik, pentadbir dan pengurusan, pelaksana serta pelajar dan alumninya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik semasa mengumumkan pencapaian itu berkata kejayaan universiti di Malaysia dalam penarafan tersebut memberi indikasi bahawa institusi pendidikan tinggi di Malaysia telah berjaya menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan positif menuju ke arah revolusi industri 4.0.

“Ini memberi kelebihan kepada Malaysia berbanding negara-negara jiran sebagai hub pendidikan tinggi dan seterusnya menjadi destinasi pilihan untuk melanjutkan pelajaran bagi pelajar-pelajar antarabangsa,” jelasnya.

Katanya, beliau yakin setelah kerajaan memperkenalkan akta baru untuk mentadbir universiti-universiti awam untuk menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), semua universti akan menjadi lebih kompetitif hasil daripada kebebasan akademik dan autonomi yang akan mereka perolehi.