UKM Dalam Kalangan Universiti 1% Terbaik di Dunia
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman
PUTRAJAYA, 8 Jun 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatatkan peningkatan tertinggi dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2017/2018 iaitu sebanyak 72 anak tangga, dari kedudukan ke 302 pada nilaian 2016/2017 kepada kedudukan ke 230 dunia.
Dengan peningkatan itu, UKM kini berada dalam kategori 1% teratas universiti di dunia.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata peningkatan sebanyak 72 anak tangga itu adalah peningkatan terbaik dalam kalangan universiti di Malaysia tahun ini.
“KPT yakin dengan perancangan strategik seperti yang digariskan dalam pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 serta usaha yang berterusan, sasaran KPT untuk menempatkan universiti tempatan dalam penarafan 100 terbaik dunia akan tercapai lebih awal daripada jangkaan,” katanya.
Tambah beliau, QS telah membuat inisiatif untuk proses penarafan tersebut sejak 2004.
“Daripada lebih 26,000 universiti di seluruh dunia, hanya 959 disenarai pendek oleh QS untuk penarafan dunia,” terangnya.
Sistem penarafan ini menilai empat bidang utama iaitu penyelidikan, pengajaran, kebolehpasaran dan pengantarabangsaan.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata kejayaan itu adalah amat membanggakan seluruh warga UKM.
“Dalam mencapai usia 50 tahun, berada pada kedudukan ke 230 dan juga berada dalam kelompok 1% universiti di dunia adalah sesuatu yang amat membanggakan.
“Saya percaya ini adalah hadiah istimewa UKM kepada seluruh rakyat Malaysia tentang kejayaan dan kecemerlangan UKM yang sama-sama kita bina sejak 47 tahun lalu,” katanya.