UKM dan ANGKASA Jalin Kerjasama dalam Melestarikan Alam Sekitar
Oleh Nur Batrisyia dan Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 19 Mac 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menjalinkan kerjasama strategik dalam memastikan kelestarian alam sekitar terjaga dengan melaksanakan program menanam sejuta pokok melalui Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) COOPCARE Koperasi Prihatin Sejuta Pokok.
Pro Naib Canselor, Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof. Dato’ Dr. Norman Mohd Saleh berkata program tersebut akan melibatkan penyelidik dari Institut Perubahan Iklim (IPI) yang akan membuat pemantauan melalui teknologi dan aplikasi Aerial Satellite dalam melihat perkembangan tumbesaran pokok, di samping memantau dan membuat penilaian kandungan stok karbon serta kesihatan pokok.
“Pemantauan ini perlu dilakukan bagi memastikan kemandirian pokok (tree survivor) yang ditanam.
“Saya percaya, IPI mampu menggalas tanggungjawab dan memberikan sepenuh komitmen dalam menjayakan hasrat pihak ANGKASA,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) Kerjasama antara ANGKASA dan UKM, baru-baru ini.
Projek Prihatin Sejuta Pokok akan dilaksanakan di kawasan plot seluas 20 ekar di Hutan Simpan Sungai Lalang, Semenyih, Selangor.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Dato’ Abdul Fattah Abdullah berkata melalui kerjasama erat dengan UKM ini, sebuah modul pembelajaran dan pengajaran akan diterbitkan dan program kesedaran berbentuk Train of Trainers (ToT) akan dilaksanakan kepada koperasi sekolah, siswa, dan koperasi di kawasan komuniti di seluruh Malaysia.
“Melalui ToT, kita akan bagi pendidikan asas kepada mereka merangkumi maklumat asas berkaitan jenis dan fisiologi pokok, konsep tanaman, penjagaan pokok dan penghasilan baja kompos, garis panduan pengukuran tumbersaran pokok dan penyelenggaraan tanaman pokok,” katanya.
Melalui program itu, beliau berharap ia dapat mewujudkan persekitaran hidup yang kondusif serta seimbang dan faedahnya dapat dinikmati oleh semua pada masa kini dan dapat diwarisi kepada generasi akan datang.
Katanya, pengurusan kelestarian dan sumber hutan merupakan kunci kepada memerangi perubahan iklim dan berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 yang digariskan oleh Persatuan Bangsa – bangsa Bersatu (PBB).
“Pembangunan sesebuah negara harus seiring dengan usaha melestarikan alam sekitar.
“Langkah ini penting memandangkan dari sudut ekonomi dan alam sekitar yang membabitkan kawasan hutan dan kawasan tanah tinggi dianggap sebagai sumber ekonomi yang perlu dibangun dan dimajukan secara terkawal,” katanya.
Program Penghijauan Malaysia – Kempen Penanaman 100 Juta Pokok ini merupakan seruan kerajaan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun bermula tahun 2021 hingga 2025.