UKM dan Bactiguard (SEA) Hasilkan Produk Perubatan Baharu yang Lebih Inovatif


Oleh Siti Aishah Mohd Yusof
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 2 September 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Bactiguard (SEA) terus komited dalam usaha membangunkan produk baharu yang lebih inovatif serta menambahbaik produk sedia ada demi memenuhi keperluan masyarakat.

Usaha itu dimeterai melalui Surat Hasrat (LoI) yang ditandatangani semalam oleh  Timbalan Dekan Jaringan dan Alumni Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Marina Mat Baki  bersama Ketua Pengarah Operasi (COO) Bactiguard (SEA), Mr. Sathish Komar Subramaniam dengan disaksikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Mr. Anders Goransson, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bactiguard (SEA) dan Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Perubatan.

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak semasa menyampaikan ucapan berkata bidang penyelidikan yang sedang dijalankan oleh UKM dan Bactiguard ini mampu mewujudkan satu anjakan paradigma melalui pendekatan dan usaha memerangi jangkitan mikrob, selain membantu pakar bedah dan pesakit di seluruh dunia untuk mempunyai peluang kesembuhan yang lebih baik bagi mendapatkan kehidupan yang lebih berkualiti.

Katanya kerjasama yang dijalankan itu merupakan satu contoh baik yang dibawa oleh pihak universiti.

“Perkongsian swasta-awam kini dianggap sebagai satu sempadan baharu bagi kami di UKM kerana kami perlu konsisten dalam memulakan hasil penyelidikan yang inovatif dari makmal terus ke pasaran, daripada hanya bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata,” kata beliau.

UKM amat berbesar hati dapat terlibat sama dalam menjalankan penyelidikan berterusan bersama Bactiguard (SEA), demi memberikan hasil yang mampu membawa impak yang signifikan kepada masyarakat serta mampu memberi sumbangan dan manfaat yang besar kepada masyarakat.