UKM dan CMU Jalin Kerjasama Kesukarelawanan Belia ASEAN


Oleh Azril Izzat Ramlan & Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim & Izwan Azman

BANGI, 10 Jun 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus menjalin kerjasama serantau melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoU) dengan Chiang Mai University (CMU), Thailand bagi melaksanakan Program Kesukarelawanan Belia ASEAN 2022 secara maya (e-AYVP).

Program tersebut akan dikendalikan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UKM, dan digandingkan dengan CMU yang akan menjadi tuan rumah bersama.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat UKM, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata kerjasama antara kedua-dua universiti itu adalah sejajar dengan pelaksanaan pelan strategik UKM di bawah kerangka TERAS (Talent, Ethic, Revitalise, Agile dan Soul), yang bertujuan untuk memupuk kerjasama yang bermanfaat selain meningkat dan memperkukuhkan penawaran nilai UKM dalam pendidikan, penyelidikan, dan perkhidmatan pada skala nasional dan antarabangsa.

“Dengan pemeteraian MoA ini, ia menandakan pelancaran rasmi perkongsian strategik baru antara UKM dan CMU dan kerjasama yang erat ini adalah melalui Rangkaian Universiti ASEAN, di mana CMU adalah ahlinya,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani MoA antara UKM dan CMU hari ini.

Katanya, UKM amat berbangga dengan penubuhan kerjasama serantau itu kerana ia dapat menghimpunkan belia ASEAN dalam pelaksanaan program kesukarelawanan ASEAN.

“AYVP merupakan platform kesukarelawanan belia yang berhasrat untuk mencipta peluang dalam kesukarelawanan berasaskan pengetahuan, menyokong pertukaran pengalaman pembelajaran, membangunkan kapasiti, meningkatkan pemahaman silang budaya, dan memupuk rasa identiti serantau sambil membuat perbezaan yang mampan kepada komuniti di seluruh ASEAN.

“Misi AYVP adalah untuk menjadikan persepsi yang berbeza pihak berkepentingan terhadap populasi belia sebagai penyelesaian dan bukan masalah serta sebagai sumber yang menjanjikan sesuatu yang boleh dibimbing dan digerakkan untuk memenuhi keperluan perkhidmatan masyarakat serantau,” katanya.

Sementara itu, Presiden CMU, Prof. Klinikal Niwes Nantachit, berkata CMU berbesar hati untuk menganjurkan dan menjadi tuan rumah bersama program e-AYVP 2022 kali ini.

“Kami gembira dengan kerjasama yang terjalin ini kerana ia adalah kerjasama antarabangsa sangat penting kepada CMU.

“Saya yakin program ini akan memberikan peluang dan impak yang besar kepada semua peserta disamping menyokong kerjasama masa depan kedua-dua universiti dalam bidang berkaitan,” katanya.

Majlis MoA itu telah ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Norazah yang mewakili UKM dan Prof. Klinikal Niwes Nantachit, mewakili CMU sambil disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani dan Naib Presiden CMU, Prof. Madya Avorn Opatpatanakit.