UKM dan L’Oréal Tanam 153 Pokok untuk Persekitaran yang Lebih Baik


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 13 Jun 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama L’Oréal Malaysia menanam 153 batang pokok pelbagai jenis di sekitar Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) bagi meningkatkan kelestarian alam sekitar.

Program tanaman pokok tersebut adalah bersempena dengan L’Oréal Citizen Day 2019 anjuran L’Oreal dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTAR) UKM bertemakan “Think Green, Act Green”

Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, program itu adalah salah satu inisiatif L’Oréal Malaysia Sdn Bhd untuk memberi kepada masyarakat dan menunjukkan komitmen tanggungjawab sosial mereka terhadap kelestarian alam sekitar.

“Untuk program ini, kami telah memilih 14 spesis pokok yang bukan sahaja untuk menambahkan kecantikan kampus, tetapi juga memperkenalkan sepsis baharu untuk meningkatkan lagi kepelbagaian komposisi spesies.

“Sesetengah spesis yang ditanam tidak dapat ditemui di kawasan kampus tetapi biasanya terdapat di hutan dataran rendah dan juga spesies endemik,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia Sdn Bhd, Malek Bekdache berkata, program L’Oréal Citizen Day 2019 adalah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat yang diadakan setiap tahun bagi mendekatkan para pekerja dengan komuniti.

“Ini adalah salah satu inisiatif syarikat pada setiap tahun dalam memberi komitmen dan mengukuhkan perpaduan antara pekerja dengan masyarakat setempat serta dunia sekeliling,” katanya.

Antara pokok yang ditanam ialah Cengal, Merawan Kancing, Balau Laut, Bintangor Gambut, Damar Minyak, dan Jelutong.

Pokok-pokok itu ditanam di sekitar FKAB dan di sekitar Tasik Kejuruteraan.

Hadir sama, Timbalan Nab Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Ir Dato’ Dr Mohd Marzuki Mustafa, Pengarah LESTARI, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar dan Timbalan Dekan FKAB, Prof Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman.