UKM dan MARii Bekerjasama Bangun dan Komersilkan Bateri Kereta Elektrik


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi
Photo Ikhwan Hashim

CYBERJAYA, 3 Julai 2020 – Dalam memacu pembangunan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institusi Automotif, Robotik dan Lot Malaysia (MARii) menjalin kerjasama dalam membangunkan bidang kenderaan generasi baharu (NxGV), pembuatan semula (remanufacaturing), pengitaran semula (recycling), dan teknologi pembuatan pintar (smart manufacturing) melalui pelbagai projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomesilan.

Salah satu projek yang dijalankan meliputi pembangunan dan pengkomersilan bateri kereta elektrik (EV), yang didokong usaha Penyelidikan dan Pembangunn (R&D) oleh kedua belah pihak berfokuskan prestasi bateri, replikasi bateri, pembangunan pengeluaran bateri litium-ion (Li-ion), dan sebagainya.

Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Ir Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, berkata pemeteraian MoU itu menunjukkan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua institusi dalam meningkatkan keupayaan teknologi.

“Saya berharap kemunculan ekonomi digital di lanskap Industri 4.0 akan memacu inovasi yang lebih lestari dalam pelbagai aplikasi domain untuk kepentingan kerajaan, organisasi, dan seluruh warganegara.

“Inovasi ini dapat dimanfaatkan dengan lebih jauh bagi mengubah cara hidup dan cara kita bekerja, mewujudkan masyarakat digital yang inklusif dengan matlamat yang sama, yang bukan hanya akan menghasilkan kekayaan untuk kesejahteraan yang lebih baik sahaja tetapi juga membawa keamanan dan kesejahteraan kepada dunia,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan MARii, di Cyberjaya baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Dato’ Ts Madani Sahari berkata, kolaborasi itu akan melengkapkan jaringan kepakaran strategik yang diperlukan bagi melaksanakan projek-projek berkaitan penyelidikan dan pembangunan bahan asas bagi pembuatan bateri lithium-ion (Li-ion), keselamatan siber dan digitalisasi dalam sektor mobiliti.

“Projek-projek ini akan menambah nilai kepada pembangunan NxGV, Maas dan IR4.0, selaras dengan NAP2020.

“Malah, dengan kolaborasi ini juga akan dapat memperlihatkan pembangunan jaringan khusus bagi Logistik Balikan (Reverse Logistic), yang meliputi proses pengumpulan, kitaran semula dan peleraian kenderaan akhir hayat (ELV),” katanya

Inisiatif Data Pintar (Smart Data) juga bakal dilaksanakan akan memfokuskan kepada penggunaan Kecerdasan Buatan (Artifivial Intelligence-Al) dalam proses pembuatan bagi membolehkan Pembuatan Pintar (Smart Manufacturing).

Dengan teknologi Industri 4.0, projek tersebut bakal memfokuskan kepada kaedah keselamatan siber yang menggunakan pelbagai teknik agar dapat melindungi data dan sumber.

MoU itu ditandatangani oleh Prof. Dato’ Ir Dr. Mohd Hamdi dan Dato’ Ts. Madani. Turut hadir  di majlis itu ialah Pengerusi UKM, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong.