UKM dan MLS Bangunkan Produk Berasaskan Stem Sel Mesinkima Pertama di Malaysia


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 24 Jun 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi universiti pertama di rantau ini yang berjaya membangunkan Chondrogen®™ iaitu produk terapeutik bertaraf antarabanga yang berasaskan stem sel mesenkima alogenik dari tali pusat yang didermakan dan telah didaftarkan di bawah Agensi Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (National Pharmaceutical Regulatory Agency – NPRA).

Projek ini adalah kerjasama antara UKM dengan Meluha Life Sciences Sdn Bhd (MLS) bersama-sama membangunkan produk tersebut untuk rawatan osteoartristis lutut.

Ketua Unit Arthoskopi dan Kecederaan Sukan (Orthosports-UKM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) merangkap Ketua Penyelidik, Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff berkata, rawatan tersebut tidak ada kesan sampingan dan ia memberikan kelegaan kepada pesakit seawal dua minggu.

“Ini adalah kajian untuk fasa 2a iaitu pesakit hanya perlu menjalani suntikan ke lutut melalui bius setempat tanpa perlu menjalani pembedahan arthroskopi atau pengambilan darah atau sum-sum tulang pelvis.

“Kita akan teruskan observasion sehingga 12 bulan dan kalau semuanya mengikut perancangan, insyaAllah kita akan lanjutkan kajian ini kepada fasa 2b iaitu randomise control trail yang mana ia memerlukan lebih ramai pesakit dan juga penelitian yang lebih jitu,” jelasnya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan MLS di Advance Surgical Skill Centre, HCTM baru-baru ini.

MoU tersebut telah ditandatangi oleh Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Raja Affendi Raja Ali dan Pengerusi MLS, Dato’ Dr Abdul Jalil Jidon.

Beliau berkata, buat masa ini, rawatan tersebut adalah rawatan experimental yang hanya boleh dilakukan di UKM sahaja dan di mana-mana facility yang di daftarkan dengan pusat kajian UKM.

“MLS telah bersetuju membangunkan produk Chondrogen®™ ini bersama-sama UKM dan kedua-dua institusi ini akan menjadi pemegang Chondrogen®™ bersama.

“Produk Chondrogen®™ mula digunakan pada Januari 2019 dan untuk kajian ini, kita memerlukan antara 50 hingga 150 orang pesakit,” jelasnya.

Sementara itu, pesakit yang telah menjalani rawatan tersebut, Tajuddin Md Yunus, 62, yang berasal dari Pulau Pinang berkata, beliau telah mengalami masalah sakit lutut sejak tahun 2013.

“Doktor telah mencadangkan supaya saya menjalani pembedahan lutut, tetapi disebabkan saya baru menjalani pembedahan pintasan jantung, jadi pembedahan lutut tidak dapat dijalankan.

“Saya mula mencari alternative lain dan akhirnya saya menjumpai artikel berkenaan rawatan lutut menggunakan stem sel. Jadi, saya menghubungi hospital (HCTM) untuk mengetahui lebih lanjut tentang rawatan ini sehinggalah saya bertemu dengan Dr. Badrul,” katanya yang menjalani rawatan tersebut pada Januari lepas.

Seorang lagi pesakit, Puan Sri Dato’ Zainab Abdul Kadir, 71, yang turut menjalani rawatan tersebut berkata, sebelum menjalani rawatan stem sel mesenkima, beliau telah mendapatkan rawatan sakit lutut di sebuah hospital swasta.

“Saya sakit lutut sehingga sukar berjalan dan apabila bangun tidur, saya tidak boleh berjalan terus, kena pegang dinding untuk berjalan. Pihak hospital (swasta) mencadangkan untuk menjalani pembedahan, tetapi saya tidak bersetuju.

“Jadi, saya rujuk ke sini (HCTM) dan berjumpa Dr. Badrul dan beliau mencadangkan kaedah stem sel mesenkima ini. Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan tersebut yang tidak memerlukan pembedahan, saya sudah boleh berjalan seperti biasa,” katanya.

Kini, kedua-dua pesakit itu tidak perlu lagi bergantung kepada ubat tahan sakit bagi mengurangkan kesakitan lutut.

Sejak Januari lepas, pasukan pakar Ortopedik HCTM telah menjalankaran rawatan stem sel mesenkima alogenik dari tali pusat kepada 10 orang pesakit dan semuanya telah pulih daripada sakit tersebut.