UKM dan Monash University Jalin Kerjasama Penyelidikan Bidang Perubatan


Oleh Nur Aisyah Mohamed Rizal
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 1 September 2022 – Fakulti Perubatan UKM bakal jalankan penyelidikan perubatan bersama dengan Monash University apabila kedua-dua universiti itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani berkata kerjasama itu antara lain akan dapat mengembangkan perkongsian ilmu dalam memajukan bidang perubatan pada masa hadapan.

“Usaha ini semestinya menyumbang kepada kemajuan dalam aktiviti latihan klnikal dan peningkatan ilmu pengetahuan antara kedua-dua institusi. Saya berasa bangga dengan kejayaan pakar perubatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandarangani MoU baru-baru ini.

Beliau berkata, banyak kerjasama penyelidikan bersama bakal dilakukan antara kedua-dua universiti pada masa hadapan dan ia sudah pasti akan menjana sinergi baharu selain pembangunan kakitangan dan peluang melalui latihan dan program peningkatan penyelidikan telah dirancang.

“Kerjasama dalam kalangan pakar akan membolehkan penambahbaikkan dan mengembangkan idea dan inovasi, penyebaran pengetahuan dan pembangunan modal insan; membolehkan kedua-dua pihak mencapai tahap yang lebih tinggi yang memberi manfaat kepada negara dan masyarakat,” katanya.

Mengatasi isu kesihatan dalam era Revolusi Perindustrian Keempat, katanya ia memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi daripada bidang berkaitan untuk memanfaatkan ketersediaan internet berkelajuan tinggi, data besar dan perubatan peribadi yang memberi impak lebih besar kepada masyarakat.

Beliau berharap dengan termeterainya kerjasama ini, Fakulti Perubatan UKM dapat meningktakan ilmu  dan kebolehan meraka untuk kebaikan masyarakat dan di seluruh negara.