UKM dan NAHRIM Bersama Selidik Pengaliran Air Dan Kesan Terhadap Alam Sekitar

01
Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 12 Dis 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) akan bersama menyelidik teknologi pemindahan cecair melalui paip dan saluran, terutama sebagai sumber kuasa atau kawalan mekanikal.

Kedua-dua pihak menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu penyelidikan yang berimpak tinggi terutamanya dalam bidang air dan sekitaran.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang mewakili UKM, berkata MoU yang ditandatangani itu akan memperkasakan lagi usaha UKM untuk menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang berimpak tinggi selaras dengan sasaran yang ditetapkan dalam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) UKM.

“Sebagai sebuah universiti penyelidikan, UKM menggerakkan seluruh sumber yang ada untuk melonjakkan UKM sebagai universiti penyelidikan terkemuka dunia dan terkehadapan.

“Saya harap kerjasama strategik ini akan memperkukuhkan peranan UKM dan NAHRIM sebagai antara institusi rujukan bagi menyelesaikan permasalahan yang berkait dengan air termasuk sungai, laut dan juga persekitarannya,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut di sini pada 3 Disember lepas.

Beliau berkata kerjasama antara UKM dengan NAHRIM telah lama terjalin terutamanya dengan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Fakulti Sains dan Teknologi, Institut Perubahan Iklim, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) dan beberapa pusat tanggungjawab lain.

“UKM turut berbangga dengan usaha FKAB yang telah membina jaringan strategik dua hala dengan pelbagai agensi kerajaan, industri dan badan-badan Profesional dalam bidang kejuruteraan yang lain.

“Kerjasama dengan badan-badan Profesional ini dapat memastikan pemantauan berterusan kualiti graduan, memenuhi standard antarabangsa negara, penukaran kepakaran dan maklumat akademik serta jaringan penyelidikan dan perundingan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah NAHRIM Datuk Ir Ahmad Jamaluddin Shaaban berkata MoU itu merupakan usaha yang murni antara UKM dengan NAHRIM terutamanya FKAB.

“Kita akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak fakulti dalam menjalankan penyelidikan berkenaan dengan bidang air dan sekitaran kerana itu adalah bidang kepakaran NAHRIM,” katanya selepas menandantangani MoU tersebut bagi pihak agensi beliau.

Beliau berkata NAHRIM yang merupakan salah satu antara 12 jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah ditubuhkan 20 tahun lalu dengan tanggungjawab untuk menjadi pusat kebangsaan yang menyelaras aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang air dan persekitaran.

“Bagi memenuhi tanggungjawab ini, NAHRIM sentiasa giat menjalankan penyelidikan dan perundingan dalam bidang air merangkumi sungai, pantai, kualiti air dan alam sekitar, adaptasi perubahan iklim dan sumber air serta hidrigeologi,” katanya.

Upacara tandatagan MoU tersebut disaksikan oleh Dekan FKAB, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad dan Timbalan Ketua Pengarah NAHRIM, Dr Saim Suratman.

Kerjasaman itu termasuk bidang seperti penggunaan prasarana, kolaborasi penyelidikan serta perundingan dan khidmat nasihat.
ukmnewsportal-bm

02

03

04

05