UKM Dan Persatuan Sejarah Malaysia Akan Terbit Buku Sejarah Bangi
Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 13 April 2015 – Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Cawangan Selangor akan bekerjasama bagi memperkasakan sejarah Melayu melalui penerbitan buku-buku yang menjelaskan asal-usul penempatan di negeri itu .
Kedua-dua pihak tersebut menandatangani Surat Hasrat (Lol) di sini hari ini bagi menjalankan program-program penyelidikan bersama dan seminar-seminar dalam bidang sejarah.
Dekan FPI, Prof Dr Wan Kamal Mujani menandatanganinya bagi pihak UKM manakala PSM Cawangan Selangor diwakili pengerusinya Dr Hj Muhd Yusof Hj Ibrahim.
Kedua pihak bersetuju melaksanakan program penyelidikan bersama bagi melebarkan ruang kerjasama di segala bidang terkhusus penyelidikan sejarah dan budaya tempatan.
Prof Wan Kamal berkata kesedaran sejarah sangat penting untuk dibangkitkan kembali sebagai pembentukan jatidiri kepada rakyat, khasnya orang Melayu.
Beliau menambahkan bahawa dengan pengertian sejarah maka sikap patriotisme semakin kuat. Ini merupakan cabaran yang perlu diberi perhatian lebih sebab kekuatan suatu negara terletak pada bagaimana ianya memahami perjalanan sejarahnya.
Dr Muhd Yusof, pula, menerangkan mereka akan lakukan penyelidikan bersama mengenai asal-usul penempatan penduduk di Selangor dan hasilnya akan diterbitkan sebagai buku bertajuk Sejarah Bangi.
“Dengan adanya buku itu, ia akan jelaskan sebenarnya siapa yang pertama kali bangunkan Bangi, iaitu Melayu sendiri.
“Memang banyak ada buku lain diterbitkan oleh orang Inggeris tetapi mereka tidak memberi gambaran yang jelas mengenai peranan Melayu dalam pembangunan bandar-bandar,” kata Dr Muhd Yusof.
Menurut beliau seminar dan bengkel sejarah juga akan dianjurkan bersama selain menerbitkan buku-buku.
Katanya lagi, minat sejarah oleh pelajar harus ditingkatkan secara lebih kreatif, kerana pembelajaran tidak lagi diadakan sepenuhnya didalam ruang kuliah tetapi lebih banyak bersifat amali.
Umpamanya, ilmu boleh dipelajari dengan mengunjungi muzium, tempat bersejarah, pemukiman orang asli, dan di bangku sekolah rendah lagi pelajar diberi tugasan untuk mencari asal-usul keluarga. Maka dengan cara demikian pembelajaran sejarah akan lebih menarik dan mudah difahami.
Beliau menambahkan badan-badan bukan kerajaan dan ahli akademik harus mendorong kerajaan untuk terus memperbaiki sistem pembelajaran. Kementerian Pendidikan perlu menggubal dasar yang lebih kepada aplikasi dan kurang teori, kerana bidang sejarah perlu pengamatan langsung dan mendalam.
PSM ditubuhkan pada tahun 1963 dan telah banyak melakukan program-program bersama ahli akademik UKM.
Mereka pernah mendirikan pustaka-pustaka kecil, mengadakan pertandingan esei sejarah, sayembara novel sejarah, kuiz sejarah serta teater sejarah.
Dengan meterainya Lol ini kedua-dua pihak mengharapkan rakyat Malaysia menyedari betapa pentingnya sejarah bagi membangun masa depan bangsa.