UKM dan Petronas Research Sdn Bhd Kongsi Kepakan Teknologi Hijau


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 1 Februari 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Petronas Research Sdn Bhd mengadakan kerjasama dengan berkongsi kepakaran, teknologi dan peralatan dalam membangunkan teknologi hijau.

Naib Canselor, Prof Ir Dato’ Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, kerjasama yang dilakukan itu adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi kedua-dua pihak kerana ia akan melibatkan beberapa projek yang akan dilaksanakan secara berperingkat berkaitan penghasilan hidrogen melalui teknologi elektrolisis.

“Penyelidikan ini adalah public funding. Jadi, kita perlu memastikan setiap sen yang kita terima digunakan dengan betul dan dapat memberi sesuatu kepada negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dengan Petronas Research Sdn Bhd di Bilik Majlis, Bangunan Pentadbiran, baru-baru ini.

Katanya, UKM selama ini telah banyak menyumbang kepakaran berkaitan dengan teknologi tenaga hijau ataupun tenaga keterbaharuan.

“Pelantikan Prof. Dato’ Ir Dr Wan Ramli Wan Daud sebagai penyandang Kerusi Profesor (Tenaga Hidrogen Lestari) adalah satu contoh terbaik dalam perkara ini.

“InsyaAllah, beliau bersama-sama pasukannya akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan keberhasilan projek kerjasama ini,” katanya.

Prof. Ir. Dato’ Dr. Mohd Hamdi berharap kerjasama itu akan memberi manfaat berpanjangan selain menjadi rakan strategik yang utama dalam penyelidikan, bukan sahaja dalam bidang tenaga keterbaharuan, malah dalam pelbagai bidang yang ada di pelbagai fakulti dan institut di UKM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi, Penyelidikan dan Teknologi Kumpulan Petronas, Dr. Nasir Darman berkata, kerjasama itu bukan satu usaha akhir tetapi merupakan usaha awal untuk penyelidikan tersebut.

“Pemilihan UKM untuk menerajui penyelidikan ini bukan atas faktor politik, tetapi kredibiliti pensyarah dan penyelidik di universiti ini telah meyakinkan kami untuk menjalin kerjasama, seterusnya mencapai matlamat yang kami harapkan.

Katanya, Petronas menjalankan penyelidikan bukan semata-mata penyelidikan, tetapi adalah untuk dikomersilkan dan digunakan oleh rakyat.

“Jadi, kami (Petronas) perlu mencari rakan strategik yanb boleh bersama-sama kami menjakankan penyelidikan berkenaan hidrogen untuk dikomersilkan kepada masyarakat.

“Kami tidak boleh menjalankan penyelidikan ini tanpa sokongan pihak mahir yang lain. Jadi, kami buka ‘tingkap’ ini kepada pihak universiti bersama-sama kami menerokai penyelidikan tenaga keterbaharuan,” katanya.

Beliau berharap apa yang telah dirancang oleh kedua-dua institusi dalam MoA tersebut akan dapat dijalankan dan dapat menghasilkan penyelidikan yang berjaya.

Kerjasama UKM dengan Petronas Research ini melibatkan beberapa projek yang akan dilaksanakan secara berperingkat berkaitan dengan penghasilan hidrogen daripada sumber air melalui teknologi elektrolisis.

Kerjasama kedua-dua pihak itu bukan sahaja dapat menyediakan teknologi hijau bagi pasaran tempatan dan global, namun turut menyediakan peluang pekerjaan dan mampu meningkatkan ekonomi negara.

UKM diwakili oleh Prof Ir Dr Mohd Hamdi manakala Petronas Research Sdn Bhd oleh   Ketua Pegawai Eksektifnya, Dr Shahidah Mohd Shariff manakal Pengarah Institut Sel Fuel UKM, Prof Dr Siti Kartom Kamarudin dan Ketua Pengurusan Teknologi dan Komersial, Petronas Research Sdn Bhd, Dr Mahpuzah Abai sebagai saksi organisasi masing-masing.