UKM dan Sunway University Tubuh Pandemic Resilience Institute


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 3 Jun 2022 – Jalinan kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Pendidikan dengan Sunway University bakal menyaksikan penubuhan Pandemic Resilience Institute (PRI) yang akan menjadi sebuah hub pendidikan dan penyelidikan di rantau Asia.

Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata PRI itu akan menjadi rujukan kepakaran kesihatan, sains perubatan, menjana impak sosioekonomi, dan meningkatkan kualiti hidup.

Prof. Dato’ Dr. Norazah berkata, penubuhan institut ini juga akan membentuk penyelidikan berimpak tinggi yang merentasi bidang dan bersifat translasi, memperkasa latihan dan pengajaran pasca-siswazah melalui latihan amali, makmal dan klinikal termasuk sub-kepakaran dan membangunkan program-program profesional yang boleh meningkatkan kebolehpasaran modal insan di Malaysia.

“Kerjasama kedua-dua institusi itu diharap dapat menangani wabak kesihatan secara menyeluruh dan menjadi platform pengetahuan di rantau ASEAN sebagai pemakluman penyelidikan semasa dan amalan terbaik global dalam menanggani wabak kesihatan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Sunway University, di sini.

Katanya, melalui kerjasama itu UKM dapat membantu Sunway University dalam melahirkan lebih ramai pakar dan sub-kepakaran bagi mendokong misi Sunway Healthcare dalam meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

“Selain itu, Sunway University pula akan membantu UKM dalam memberikan peluang kepada tenaga pengajar UKM melebarkan sayap dan berkongsi kepakaran di sektor swasta,” katanya.

Beliau juga berharap dengan kerjasama itu, ia akan menjadi platform utama dalam membantu negara menghadapi cabaran kesihatan di masa akan datang.

Selain dari penubuhan Pandemic Resilience Institute, MoU itu juga meliputi penyeliaan bersama pelajar sarjana muda dan pasca siswazah dalam bidang praklinikal, klinikal dan bidang lain, serta penglibatan dan kerjasama komuniti bersama ke arah pembangunan dasar negara.

Majlis pemeteraian MoU itu turut dihadiri oleh Presiden Sunway University, Prof Sibrandes Poppema.