UKM – Destinasi Pertama Pemeriksaan Kenderaan Percuma Secara Mobile Truck PUSPAKOM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 8 Jun 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi destinasi pertama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) melakukan pemeriksaan kenderaan percuma secara mobile truck kepada pemilik kenderaan yang berada di sekitar Bangi.

Ketua Jabatan Perhubungan dan Khidmat Nasihat PUSPAKOM, Dato’ Ooi Win Juat berkata itu adalah kali pertama PUSPAKOM membuat pemeriksaan secara mobile truk kepada pemilik kenderaan.

“Kita memilih UKM sebagai destinasi pertama kerana di sini kita mempunyai ramai pelajar dan kakitangan yang menggunakan kenderaan dan mereka juga akan menggunakan kenderaan tersebut untuk pulang ke kampung berhari raya.

“Pemeriksaan ini juga adalah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Jadi, pemilik kenderaan tidak perlu lagi ke mana-mana PUSPAKOM untuk membuat pemeriksaan kenderaan sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya semasa Program Jom Selamat Balik Raya: Pemeriksaan Kenderaan Percuma, di Dataran Panggun Seni, Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), baru-baru ini.

Beliau berkata untuk tempoh sehari pemeriksaan, pihaknya menganggarkan sebanyak 56 buah kenderaan dapat diperiksa menggunakan mobile truck.

“Kita akan lakukan pemeriksaan secara mobile ini untuk perayaan-perayaan yang besar seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kelestarian Pekerjaan (ROSH-UKM), Suzana Abu Bakar berkata, program tersebut adalah kerjasama antara ROSH-UKM dengan PUSPAKOM bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan elok bagi mengelakkan kemalangan.

“Ini adalah kali pertama kita jalin kerjasama dengan PUSPAKOM dan kita akan berbincang dengan PUSPAKOM untuk adakan lagi kempen ini secara berterusan.

Katanya, selain PUSPAKOM, ROSH-UKM juga turut mengadakan kempen advokasi bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).