UKM di Usia Emas


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Ikhwan Hasim

BANGI, 24 Mei 2019 – Dalam menginjak usia 50 tahun, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak pernah sunyi dari kejayaan demi kejayaan.

Siapa sangka, di awal penubuhannya 49 tahun lepas, banyak onak dan duri termasuklah tentangan dari pelbagai pihak berlaku kerana bagi mereka adalah mustahil bagi sebuah universiti kebangsaan yang memartabatkan Bahasa Kebangsaan berdiri gagah dengan-universiti-universiti lain.

Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, penubuhan UKM adalah kesinambungan dari gagasan dan pengorbanan pejuang-pejuang bangsa yang ingin melihat anak bangsa maju dan terkehadapan dalam pelbagai bidang ilmu.

“UKM amat bertuah dan bersyukur kerana telah berjaya mengharungi pelbagai halangan dan rintangan selama 49 tahun penubuhannya.

“Justeru, universiti menyanjung tinggi dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga UKM yang telah sama-sama berganding bahu demi meningkatkan kecemerlangan UKM,” katanya semasa Majlis Semarak 50 Tahun UKM di Persada, Bangunan Canselori, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, banyak perkara yang telah dicapai oleh UKM selama 49 tahun lalu terutamanya perkembangan yang besar dari segi akademiknya.

“Perkembangan besar dari segi penyelidikan dapat dilihat apabila UKM diberi gelaran sebagai universiti penyelidikan.

“Kita dapat melihat peningkatan tahap penyelidikan dari tahun ke tahun dan saya percaya pada tahun depan, ulangtahun ke-50 UKM, kita akan melihat pencapaian lain,” katanya.

Beliau berkata, langkah UKM seterusnya adalah meningkatkan tahap kualiti dalam apa jua yang dilakukan terutamanya ‘output’ dari segi penyelidikan.

“Menjadi keutamaan kami (UKM) memikirkan langkah untuk mencapai peningkatan (kualiti) graduan yang kita hasilkan,” katanya.

UKM yang ditubuhkan melalui hasrat rakyat yang mahukan sebuah universiti yang memartabatkan Bahasa Melayu telah ditubuhkan pada 18 Mei 1970 dan bakal menyambut Jubli Emas pada tahun hadapan.

Pada majlis tersebut, turut diadakan pelancaran logo Sambutan Jubli Emas UKM, video promo dan video ketua projek.

Turut hadir pada Majlis Semarak 50 Tahun UKM ialah Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan barisan Pengurusan Tertinggi UKM.