UKM dilantik Sebagai Urusetia Pembangunan IET


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 4 Oktober 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilantik sebagai urusetia dalam membangunkan modul Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa atau International English Test (IET).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata UKM juga akan membuat penyelarasan keperluan dari aspek pengurusan ujian tersebu.

“Bagi IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam) dan IPTS (Institusi Pengajian Tinggi Swasta), mereka akan bertindak sebagai rakan strategik bagi menggiatkan lagi dan memastikan keberkesanan pelaksanaan IET.

“Manakala untuk aspek kualiti, IET akan dikawal selia oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Jawatankuasa Jaminan Kualiti IET yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran IET, di sini.

IET adalah setara dengan ujian kelayakan luar negara seperti International English Language Testing System (IELTS), Test of English as a Foreign Language (TOEFL) , yang boleh membantu individu dalam memenuhi syarat kemasukan ke IPTA atau pun IPTS.

IET bakal menjadi ujian alternatif kompetensi bahasa Inggeris kepada bukan sahaja pelajar tempatan, tetapi juga pelajar antarabangsa.

“Seperti ujian-ujian kelayakan bahasa yang lain, IET juga mempunyai komponen-komponen penilaiannya yang tersendiri. Ada empat ujian kemahiran semuanya yang akan dinilai, iaitu Pendengaran (Listening); Perbualan (Speaking); Penulisan (Writing) dan Membaca (Reading).

“Uniknya IET berbanding dengan ujian-ujian yang lain adalah terletak pada cirinya yang memberikan penekanan kepada persekitaran akademik dalam kerangka ujiannya.

“Bahan-bahan yang digunakan adalah autentik berdasarkan bahan yang mirip dengan bahan rujukan pelajar, mudah dan sesuai untuk peringkat prasiswazah, sarjana dan doktor falsafah. Perkara ini selaras dengan konteks penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa akademik,” katanya.

Beliau berkata kementerian merancang untuk melaksanakan IET pada Disember 2022 sebagai satu daripada inisiatif untuk memperkukuh jenama pendidikan tinggi Malaysia di persada antarabangsa.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM telah membina sebuah modul pentaksiran atau peperiksaan IET yang bakal menjadi pilihan alternatif selain daripada IELTS, TOEFL dan juga MUET.

“Semestinya, matlamat utama semua IPT di Malaysia adalah untuk melahirkan graduan cemerlang yang mempunyai kemahiran bahasa yang tinggi.

“Di UKM, kita menyokong hasrat KPT melalui penubuhan kampus-kampus antarabangsa, contohnya, pembukaan cawangan kampus UKM di Doha, Qatar dan jalinan kerjasama dengan pelbagai universiti antarabangsa,” katanya.

Turut hadir ke majlis pelancaran ini ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPT, Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar, Ketua Setiausaha KPT,  Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak.