UKM Eratkan Hubungan Dengan Penduduk Bantan, Thailand


Oleh Radzuan Ghazali
Foto Ahmad Shahiddin Saidi

NAKON SI THAMMARAT (THAILAND), 26 Mac 2018 – Kunjungan 120 staf dan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke Nakon Si Thammarat, Thailand dari 14 hingga 18 Mac 2018 sempena Kembara UKM-Pondok Bantan baru-baru ini bukan hanya mewujudkan jalinan erat antara kedua belah pihak, tetapi juga merungkai kerjasama yang boleh dipelbagaikan bagi manfaat bersama.

Kembara yang turut disertai oleh 25 orang ahli kumpulan bermotosikal tinggi itu telah  menjalankan tujuh aktiviti seperti Pengkisahan Allahyarham Tan Sri Surin Pitsuwan, Sunathon, Ujian Saringan Penglihatan, Taklimat dan Pemeriksaan Kesihatan, Forum Perdana Hal-ehwal Islam, Gotong Royong dan Pembelajaran Subjek Bahasa Melayu dan Inggeris.

Kembara UKM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman turut disertai oleh Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Datuk Dr Rokiah Omar, Ketua Jaringan Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM) Fakulti Perubatan, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dan Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal dari Fakulti Undang-Undang.

Terdahulu, Prof Dr Mohd Ekhwan dalam ucapannya di Majlis Perasmian Program Kembara di Pondok Bantan berkata, program itu adalah julung kali diadakan membabitkan penyertaan semua fakulti.

Katanya program tersebut menjangkau aktvititi penyelidikan berkaitan Bahasa Melayu di Thailand seperti program latihan pengajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di pondok berkenaan.

“Ia adalah program berterusan bermula Julai tahun lalu dan tahun ini kami hendak memperkukuhkannya.  Berkemungkinan pada tahun hadapan kembara ini akan diperkembangkan pula ke negara Laos dengan program yang sama dengan di Pondok Bantan,” katanya.

Beliau yang juga ahli kumpulan Bikers UKM berkata, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengutip sumbangan bagi membina wakaf dan pembinaan masjid di wilayah Nakon Si Thammarat itu telah dilakukan dan diselesaikan.

Beliau berkata UKM mempunyai hubungan baik dengan pengasas Pondok Bantan iaitu Allahyarham Tan Sri Surin yang pernah menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Hubungan Antarabangsa) dari UKM pada 2012.

Katanya kembara ini bukan sahaja menaikkan nama UKM malah memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara untuk pembangunan umat Islam sejagat.

Sementara itu, adik Allahyarham Tan Sri Surin, Huwiadiyah Pitsuwan berkata pondok ini dibangunkan menjadi sekolah aliran Islam yang turut mempunyai kursus akdemik dan kemahiran.

Katanya pendidikan Islam termasuk Al-Quran lebih diberi penekanan tetapi pelajar juga mendapat pendidikan seimbang iaitu cemerlang dalam kedua-dua bidang berkenaan.

“Terdapat lebih 2,000 pelajar dan 100 guru di sekolah ini.  Sekolah ini berkembang ketika Allahyarham menguruskan sekolah ini hingga ke akhir hayatnya.

“Saya berbangga kerana pihak UKM dapat mengadakan program yang memberikan faedah kepada warga Pondok Bantan dan usaha ini perlu diteruskan sepanjang masa,” jelas beliau.