UKM FC Beri Tentangan Hebat dalam Perlawanan Akhir Kedua Piala FAM


Oleh Asmahanim Amir

Foto Shahiddan Saidi

PETALING JAYA, 22 Oktober 2017 – Pasukan UKM FC memberi tentangan hebat dalam aksi akhir kedua Piala FAM 2017 selepas terikat 2-2 kepada pasukan Sime Darby FC. 

Gol pertama dijaringkan oleh pemain berjersey 10, Hasrul Nurkholis pada minit ke-15 meletakkan UKM FC dihadapan manakala Mohd Nazrul Kamarulzaman dari Sime Darby FC menjaringkan gol persamaan pada minit ke-28 menjadikan kedudukan satu sama. 

Pada minit ke-55, Sime Darby FC menjarakkan kedudukan apabila tendangan Tengku Norhidayah Tengku Ismail memasuki gawang gol lawan. 

Dua minit sebelum masa tamat, Muhammad Faidzul Fazreen Samsuddin dari UKM FC menjaringkan gol persamaan, namun gol itu tidak dapat menebus kekecewaan pasukan

UKM kerana Sime Darby dinobatkan sebagai juara Piala FAM 2017 dengan agregat 3-2.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata walaupun UKM tidak bergelar juara, tetapi pasukan itu telah menunjukkan aksi yang hebat sepanjang perlawanan berlangsung. 

Ini adalah satu kecemerlangan yang sangat membanggakan telah ditonjolkan oleh UKM. 

Pertama kali dalam sejarah bola sepak negara, pasukan bola sepak sebuah universiti sampai ke perlawanan akhir liga bola sepak profesional merebut piala FAM, katanya. 

Naib juara menerima medal dan wang tunai RM100,000 manakala juara membawa pulang piala, medal dan wang tunai bernilai RM200,000. 

Perlawanan akhir kedua Piala FAM 2017 telah berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dihadapan 612 penonton.