UKM, FEW Jalin Kerjasama Kembangkan Kemahiran Keusahawanan
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 5 Januari 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) menjalin kerjasama dengan Female Entrepreneurs Worldwide (FEW) (Greater China) Limited bagi melatih pelajar, pensyarah, peserta dari NGO, dan wanita dari kumpulan B40 untuk mengembangkan kemahiran keusahawanan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) itu akan memfokuskan kepada kepimpinan keusahawanan wanita yang akan dilakukan melalui portal FEW.
“UKM dan FEW juga akan membantu usahawan wanita dari golongan B40 melalui program konsultasi dalam talian khas yang akan dijalankan dalam bahasa kebangsaan.
“Peluang penyelidikan dan kajian antara kedua-dua belah pihak juga amat besar. Diharap peluang keemasan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pelajar dan para pensyarah wanita UKM khususnya,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani MoU antara UKM dengan FEW di sini, semalam.
Sementera itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata kerjasama itu menandakan komitmen dan kesediaan UKM untuk bekerjasama dengan agensi berwibawa tempatan dan antarabangsa, sama ada organisasi kerajaan atau bukan kerajaan yang sesuai dengan falsafah UKM.
“Bagi pelajar lulusan UKM, inisiatif ini akan memberikan latihan yang relevan untuk pekerjaan mereka di masa hadapan. FEW akan berfungsi sebagai wadah untuk melanjutkan latihan industri mereka.
“Kehadiran FEW secara global akan memberi kelebihan kepada pelajar UKM dan dapat membantu meningkatkan kredibiliti mereka mendapat pekerjaan,” katanya.
Bagi wanita dalam kumpulan B40 pula, katanya, kolaborasi itu akan memberi peluang untuk mengembangkan kemahiran keusahawanan mereka dan mampu menceburkan diri dalam perniagaan mereka sendiri.
Manakala peserta dari NGO pula akan dilatih untuk mengembangkan usahawan wanita dalam lingkungan mereka sendiri sehingga dapat mewujudkan generasi wanita yang lebih berdaya maju di Malaysia, katanya.
FEW yang beroperasi di Hong Kong, Shanghai, Shenzhen dan Singapura dengan 5,000 anggota wanita berdaftar telah melakar namanya tersendiri dalam memberikan sokongan dan menjadi sumber kepada wanita tempatan dan global melalui penyediaan rangkaian perniagaan dan perkhidmatan perundingan.
“Jadi, kolaborasi UKM dengan FEW diharapkan dapat menghasilkan lebih banyak peluang bagi wanita di Malaysia untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka,” ujar Prof. Dato’ Mohd Ekhwan.
UKM telah diwakili oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan, manakala FEW diwakili oleh Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Eksekutif FEW, Anna Wong.