UKM-GSB Lancar Tabung Sarjana GSB-CMU Simbol Sokongan Alma Mater


Oleh UKM-GSB
Foto Izwan Azman

BANGI, 16 November 2022 – Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) melancarkan Tabung Sarjana GSB-CMU bernilai RM100,000 sebagai simbol permulaan hubungan akrab bersama para alumninya.

Sumbangan dari Consortium of Malaysian University (CMU) yang dipengerusikan oleh Dato’ James Wong Tze Wei yang juga merupakan alumni UKM itu bertujuan untuk meningkatkan lagi aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat.

Dengan pelancaran tabung tersebut, ia dapat memberi tajaan kepada bakal pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke UKM-GSB.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata, menurut Dekan UKM-GSB, Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, pengalaman bernilai tinggi perlu diteruskan oleh seseorang pelajar yang kembali semula menyumbang kepada universiti sebagai seorang alumni.

“UKM-GSB mengambil pendekatan seperti yang dibuat oleh universiti-universiti luar negara seperti Harvard University dan Yale University, iaitu sumbangan para alumninya terhadap alma mater dalam bentuk kewangan melebihi USD53 billion dan USD42 billion.

“Sumbangan kewangan daripada alumni ini telah membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran institusi terbabit serta menjamin operasi universiti yang lebih lestari,” katanya.

Beliau berkata penglibatan alumni di universiti bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tetapi juga sumbangan intelektual dan kepakaran seperti turut bersama dalam aktiviti pelajar, perkongsian pengalaman industri serta menjalankan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat.

“Setiap bentuk sumbangan alumni adalah amat berharga dan ia turut bersama membantu UKM ke arah kejayaan yang lebih holistik,” katanya.

Tambah beliau, bagi membolehkan hubungan akrab institusi dan alumni, UKM-GSB menyediakan pelbagai bentuk platform sumbangan bagi memberikan keluwesan penglibatan alumni seperti jemputan sebagai penceramah dalam siri wacana universiti, menghadiri atau mengendalikan kursus latihan anjuran UKM-GSB, aktiviti tanggungjawab sosial korporat, platform berwakaf, endowmen kepada fakulti dan lain-lain.

Pada Majlis Pengiktirafan Alumni UKM-GSB dan Pelantikan Penasihat Industri ini, UKM-GSB juga turut meraikan pelantikan empat pemimpin tersohor sebagai Penasihat Industri di fakulti.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata pelantikan penasihat industri UKM-GSB memainkan peranan yang amat penting dalam pelbagai urusan yang melibatkan fakulti dan universiti.

“Kerjasama pintar antara penasihat industri dengan UKM-GSB dapat membantu menambahbaik kualiti kurikulum program sedia ada dan juga aktiviti berkaitan pengajaran dan pembelajaran.

“Penambahbaikan ini menjadi lebih bermakna apabila industri turut berperanan dalam pembangunan modal insan dan aktiviti serta semua program yang dilaksanakan wajar dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau yakin dengan kerjasama baik itu, pastinya akan membuahkan hasil yang membanggakan dan sudah tentu mampu mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya.

Pada majlis itu juga, UKM-GSB turut meraikan serta memberi pengiktirafan kepada beberapa orang alumni yang aktif membantu menjayakan program Universiti dan UKM-GSB.