UKM-GSMP Lahir 363 Alumni

3
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 18 Ogos 2016 – UKM-Global Mobility Partnership Programme (UKM-GSMP) telah melahirkan seramai 363 alumni, iaitu 229 alumni antarabangsa dan 134 alumni tempatan, semenjak ia dimulakan lapan tahun lepas.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata program yang diadakan selama tiga minggu itu merangkumi dua kursus iaitu Sustainability of Tropical Heritage (STH) and Indigenous Community of Malaysia (ICM), yang memberi pengetahuan kepada para peserta tentang kepelbagaian budaya dan warisan tropika di Malaysia.

“Pengalaman pembelajaran yang interaktif telah direka khas untuk program ini dalam memastikan para peserta dilengkapi dengan teori dan pengetahuan latar belakang semasa minggu pertama kuliah di UKM.

“Kemudian, mereka memulakan kajian lapangan selama dua minggu dan lawatan ke makmal alami UKM serta tempat-tempat menarik di Malaysia.

“Program ini adalah setara dengan kursus –kursus university yang berjumlah empat jam kredit.

“Para peserta digalakkan untuk memindahkan jam kredit tersebut dalam program ijazah di universiti anda,” katanya semasa majlis Penutup UKM-GSMP (Inbound) 2016, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, peserta daripada The Hong Kong Polytechnic University, Wong Sing Yu, 21, berkata program tersebut telah membawa mereka melihat kecantikan lanskap Malaysia dan mereka telah menikmati kepelbagaian sumber alam terutamanya di Langkawi, Sabah dan Lembah Danum.

“Menariknya, apabila sesetengah tempat tidak mempunyai wifi atau internet, kami bersembang sesama sendiri dan secara tidak langsung, saya dapat mempelajari budaya, agama dan tradisi para peserta yang berasal daripada pelbagai negara.

“Terima kasih UKM kerana telah membina jambatan untuk kefahaman dan persahabatan antarabangsa,” katanya.

Muhammad Amerhakim Mohamad Zaki dari UKM berkata kenangan paling indah baginya sepanjang program tersebut adalah mengenali masyarakat pribumi di Royal Belum.

“Pengalaman yang kami dapat sudah tentu sangat baik dan secara jujur saya tidak keberatan untuk pergi ke sana lagi,” katanya.

“Kami telah bersama dengan masyarakat di sana dan ia telah membuka mata kami terhadap sisi yang berbeza antara kita,” katanya.

Beliau berkata ini bukanlah perjalanan terakhir mereka di sini tetapi sebagai permulaan persahabatan yang kekal untuk mereka.ukmnewsportal-bm
1

2