UKM Hantar 249 Atlet ke SUKUM 2016
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 5 Ogos 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menghantar 249 atlet ke Sukan Kakitangan Antara Universiti (SUKUM) 2016 yang akan diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia bermula 6 hingga 13 Ogos ini.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menerangkan bahawaUKM akan menghantar atlet untuk 20 acara yang dipertandingkan.
“Jika tahun lepas kita menduduki tempat ke lima, saya harap dengan pertambahan atlet, ia mampu melonjakkan UKM ke tangga yang lebih baik,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Bendera SUKUM 2016 di sini, semalam.
Beliau berkata sukan adalah elemen penting dalam konteks UKM kerana para atlet yang mewakili UKM akan memikul tanggung jawab yang penting.
“Kesediaan anda untuk mewakili UKM adalah satu sumbangan yang besar kepada universiti. Kita amat hargai sumbangan anda semua,” katanya.
Katanya beliau berharap semua atlet akan membawa imej baik UKM dalam menjadikan UKM sebagai sebuah universiti terhebat.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan, Prof Madya Dr Tajul Arifin Muhamad berkata 35 orang pegawai akan mengiringi atlet UKM dalam SUKUM 2016.
“Para atlet telah menjalani latihan pusat di UKM dan saya berharap agar atlet berada dalam kesihatan yang baik dan bertenga semasa pertandingan nanti,” katanya.
Antara acara yang dipertandingkan ialah badminton, basikal, bola jaring, bola sepak, bola tampar, catur, dart, futsal dan olahraga.