UKM Hargai Sumbangan Pesaranya
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 23 Mac 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersetuju pada dasarnya untuk menyediakan pejabat baharu kepada Persatuan Pesaranya bagi menggantikan yang sedia ada.
Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata tempat alternatif akan dicari untuk persatuan itu tertakluk kepada kesediaan dan kos.
Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-5 persatuan itu, Prof Noor Azlan berkata adalah wajar bagi ahli persatuan mendapat tempat yang lebih selesa berbanding pejabat sekarangnya di Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan atau ‘Rumah Kayu’ yang terletak di hadapan kawasan kampus.
Beliau bersetuju menggalakkan kakitangan yang baru bersara memohon menyertai persatuan itu dengan menyertakan borang permohonan bersama surat penghargaan dan terima kasih naib canselor kepada kakitangan yang tamat perkhidmatan.
Amat tidak memberangsangkan jika hanya 10% dari lebih 2,000 orang yang bersara setiap tahun menjadi ahli persatuan, katanya. Oleh itu UKM akan menyertakan borang permohonan keahlian bersama surat persaraan.
Prof Noor Azlan juga mengumumkan wakil dari persatuan akan dijemput menghadiri semua upacara rasmi UKM bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka semasa berkhidmat dahulu.
Suatu acara khas sedang dirancang untuk persatuan pada 18 Mei ini sempena ulang tahun ke-45 penubuhan UKM di mana para anggotanya akan diraikan dalam satu majlis ‘Pulang Ke Ganggang’ bagi menunjukkan kesinambungan pengekalan hubungan kakitangan UKM sekarang dengan yang telah bersara.
Pengerusi persatuan Hj Baharuddin Ishak merayu canselori berusaha menyediakan suatu pejabat baru sebagai tempat pertemuan para anggotanya.
Baharuddin, bekas Pendaftar UKM, menyeru jalinan hubungan antara universiti dan kakitangannya yang telah bersara dieratkan supaya sumbangan mereka itu tidak dilupakan.
Persatuan itu kini hanya mempunyai 201 anggota sahaja kerana ramai antara pesaranya tidak mengetahui aktivitinya. Itulah sebabnya mereka yang baru bersara perlu memohon menjadi ahli dengan serta-merta supaya wujud kesinambungan yang kuat antara universiti dan pesaranya.
Timbalan Pengerusi persatuan Prof Dato’ Dr Mohd Wahid Samsudin bekas Timbalan Naib Canselor dan setiausaha persatuan Hj Sabli Ibrahim, yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Tadbir, Unit Kualiti di Pusat Perubatan UKM turut hadir.