UKM Hasilkan Pencuci Tangan Sendiri untuk Kegunaan Warga Kampus


Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 22 Mac 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif menghasilkan pencuci tangan (hand sanitizer) sendiri untuk kegunaan warga kampus.

Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr. Mohd Azman Abas berkata memandangkan dalam keadaan sekarang hand sanitizer sukar diperoleh di pasaran luar, UKM mengambil inisiatif menghasilkan sendiri pencuci tangan tersebut.

“Bancuhan hand sanitizer tersebut menggunakan 99 peratus alkohol, kemudian dicairkan menjadi 70 peratus.

“Kita mendapat bahan mentah daripada stor farmasi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Larutan bahan tersebut disediakan di sana (HCTM), dan dibotolkan di sini (PKU). Hand sanitizer ini diedarkan secara percuma kepada semua PTJ (Pusat Tanggungjawab) dan kolej kediaman untuk kegunaan warga kampus. Jika habis digunakan, botolnya boleh dikembalikan untuk diisi semula,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Dr. Mohd Azman berkata UKM telah menubuhkan bilik gerakan COVID 19 yang terletak di Unit Kecemasan PKU UKM.

“Bilik gerakan ini adalah one stop centre (pusat sehenti), iaitu semua gerak kerja dan carta alir berkaitan pelbagai proses kerja dalam kampus yang mempunyai kaitan dengan COVID-19 akan di keluarkan,” katanya.

Selain itu, katanya, bilik gerakan tersebut juga adalah pusat rujukan dan pengumpulan maklumat berkaitan COVID-19 seperti statistik pelajar yang berada dalam kampus mengikut kolej kediaman sepanjang perintah MCO berjalan.

“Di bilik gerakan ini juga disediakan bekalan face mask (penutup mulut dan hidung), hand sanitizers, glove (sarung tangan) dan lain-lain keperluan bagi petugas keselamatan, petugas kolej dan petugas kesihatan yang diedarkan secara harian,” jelasnya.

Antara usaha universiti bagi mematuhi arahan MCO adalah melalui laman sesawang COVID-19 UKM (https://www.ukm.my/portal/covid-19/), yang memaparkan pelbagai info dan soalan lazim (FAQ). Selain itu, laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter turut memuatkan pelbagai info berkenaan pandemik ini.