UKM, IPT Pertama Jalin Kerjasama dengan Perbadanan Wakaf Selangor


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

SHAH ALAM, 3 April 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah Institusi Pengajian Tinggi pertama yang menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) bagi membantu mengurus dana wakaf UKM melalui Projek Usahasama Dana Wakaf Ilmu UKM.

Pengarah Yayasan Canselor UKM, Ahmad Zakie Ahmad Shariff berkata projek Usahasama Dana Wakaf Ilmu UKM adalah program perjalanan dana di UKM yang mengguna pakai kaedah wakaf bagi mewujudkan suatu infrastruktur jangka panjang yang lestari untuk memenuhi sebahagian keperluan dan pembiayaan aktiviti akademik melibatkan UKM.

“Kebanyakan wakaf yang kita terima sekarang ini adalah wakaf tunai melalui potongan gaji setiap bulan.

“Kita juga mengalu-alukan kakitangan atau alumni UKM yang mahu memberi wakaf dalam bentuk aset seperti tanah, bangunan, kenderaan dan sebagainya.

“Kita akan bekerjasama dengan PWS untuk mengurus harta wakaf tersebut,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dan PWS baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Abu Bakar Yang berkata PWS ada proses tadbir urus yang teratur bagi memastikan wakaf tersebut terjaga.

“Wakaf ini amanah bagi kita dan kerjasama antara UKM dan PWS ini adalah bagi memastikan pengurusan wakaf lebih elok dan kita juga nak pastikan syarat wakaf ini tidak disalahfaham,” katanya.

Beliau berkata PWS telah diberi kuasa oleh Majlis Agama Islam Selangor untuk memegang amanah wakaf di Selangor.

“Tidak kiralah sama ada tanah atau bangunan yang diwakafkan, itu adalah tanggungjawab kami (PWS) dalam memastikan aset yang diwakafkan itu tidak pergi ke orang lain (pihak ketiga),” jelasnya.