UKM Jalin Kerjasama dengan 35 Institusi Pendidikan Tinggi Indonesia
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman dan Ikhwan Hashim
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memperluaskan kerjasama dengan 35 Institusi Pendidikan Tinggi Indonesia (IPTI) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandangani baru-bari ini.
Kerjasama itu melibatkan program pertukaran pelajar dan peluang melanjutkan pendidikan bagi tenaga pengajar di Indonesia melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran di UKM.
Selain itu, ia juga melibatkan kerjasama penyelidikan bersama yang merangkumi penerbitan makalah serta jurnal berimpak tinggi.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata hubungan antara UKM dengan universiti di Indonesia telah terjalin sejak awal penubuhan UKM lagi.
“Beberapa orang professor daripada Indonesia telah menjadi perintis bagi menjayakan penubuhan UKM sejak awal tahun 1970an.
“Pertalian yang terjalin ini mencerminkan semangat persaudaraan nusantara yang begitu baik dan harus ditingkatkan lagi.
“Sudah sampai masanya UKM meneruskan kerjasama yang sama kepada universiti di Indonesia supaya kedua-dua negara dapat mencapai kecemerlangan bersama,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis MoU tersebut.
Beliau berkata, melalui kerjasama itu, manfaat bersama dapat dicapai apabila nama-nama penyelidik bagi kedua-dua universiti yang menerbitkan penulisan dalam jurnal-jurnal terkemuka ISI dan SCOPUS dapat dipamerkan.
“Oleh itu, dalam masa yang sama ranking UKM dan ranking universiti rakan kerjasama di Indonesia juga boleh ditingkatkan,” katanya.
Katanya, UKM berbangga kerana menjadi universiti pilihan rakan kerjasama dari Indonesia untuk menghantar pensyarah-pensyarah melanjutkan pengajian di UKM.
“Kami berharap kerjasama ini akan kekal berterusan pada masa akan datang dan hubungan antara UKM dengan IPTI dapat diteruskan,” katanya.