UKM Jalin Kerjasama dengan KKMM Bagi Projek Penyelidikan Hak Cipta Ekonomi Kreatif


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan HAshim

BANGI, 23 Oktober 2020 –  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Kajian Etnik (KITA) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan penyelidikan mengenai isu hak cipta ekonomi kreatif dan kebajikan penggiat industri kreatif.

Kerjasama itu dimeterai melalui Surat Hasrat yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad dan Pengarah Pengasas KITA-UKM, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Surat Hasrat tersebut adalah bagi projek penyelidikan bertajuk Mengenal pasti Isu-Isu Hak Cipta Ekonomi Kreatif dan Kebajikan Penggiat Industri Kreatif.

Menteri KKMM, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, penyelidikan yang bakal dijalankan itu adalah bagi mengenal pasti, menganalisis dan menyelesaikan masalah industri kreatif negara dengan menggunakan infrastruktur dan kemudahan sedia ada terutamanya melalui Majlis Pembangunan Industri Kreatif Negara (MPIKN).

“Sebagai penggiat seni, contohnya penyanyi dan pemuzik, apabila menandatangani sesuatu kontrak, mereka tidak begitu memahami apa yang ditandatangani dan kemudiannya berhadapan dengan masalah hak cipta,” katanya pada majlis menandatangani Surat Hasrat yang dijalankan secara persidangan video, semalam.

Beliau berkata MPIKN yang dipengerusikanya bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri telah bermesyuarat buat kali pertama pada minggu lepas dengan matlamat untuk menjadikan MPIKN sebagai platform yang benar-benar dapat membangunkan industri kreatif negara.

“Semua yang terlibat (pemegang taruh) dibawa berunding dan kita hendak bermesyuarat secara berkala. Melalui majlis ini, kita tidak mahu sesuatu isu itu dibiarkan begitu lama tidak ditangani dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam persidangan video tersebut, Dato’ Saifuddin turut melancarkan Panel Khidmat Nasihat Bagi Industri Kreatif yang dianggotai pegawai-pegawai KKMM dan KITA-UKM serta peguam dan penggiat industri kreatif yang berpengalaman untuk memberi nasihat, latihan dan seminar.

“Panel ini juga akan menyediakan soalan-soalan lazim (FAQ) dan program-program untuk meningkatkan kesedaran penggiat seni dalam isu hak cipta, kontrak, royalti, kebajikan serta dana-dana yang wajar dipohon untuk projek-projek mereka,” katanya.

Saifuddin berkata, walaupun panel itu akan mula beroperasi pada awal tahun depan, namun e-mel utama panel berkenaan telah diaktifkan iaitu nasihatkreatif@kkmm.gov.my supaya penggiat seni boleh menyuarakan isu-isu mereka.