UKM Jalin Kerjasama dengan Universiti Aberystwyth
Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Shahiddan Saidi
BANGI, 5 Disember 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), universiti awam pertama yang mengadakan kerjasama dengan Universiti Aberystwyth,Wales, United Kingdom, sebuah Kolej Universiti pertama di Wales yang ditubuhkan pada tahun 1872.
Naib Canselor Universiti Aberystwyth, Prof Elizabeth Treasure berkata, kedua-dua universiti (UKM dan Aberystwyth University) adalah universiti penyelidikan dengan misi untuk membangunkan, menyampaikan penyelidikan dan menanggapi cabaran global abad ke-21.
“Kerjasama ini adalah untuk membangunkan kerjasama baru antara dua universiti, terutamanya dalam penyelidikan.
“Saya harap dalam perjanjian baru ini akan membawa kerjasama yang bermakna antara kedua-dua universiti. Jadi para pelajar dapat memperoleh manfaat dari pelbagai bidang dan perspektif yang berbeza dari akademik masing-masing agar dapat memasuki bidang pengajian mereka dengan lebih dekat,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan Aberystwyth University, di Bilik Mesyuarat Canselori, baru-baru ini.
MoU dimeterai bersempena dengan syarahan Tuanku Tuanku Muhriz ke-3.
Beliau berkata, ia adalah satu perkembangan yang sangat menarik bagi mereka.
“Melalui MoU ini, ia membawa maksud yang sangat besar, yang menjadikan UKM sebagai kunci untuk menjadi rakan kongsi yang sesuai di sekitar universiti di Asia Tenggara. Kami berharap ini adalah permulaan kejayaan dan perkongsian untuk jangka panjang, “katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, UKM sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan sebuah universiti yang berusia hampir 150 tahun dan mempunyai pengalaman yang luas dalam pengajaran dan penyelidikan.
“Sebagai universiti nasional dengan jangkauan global, saya percaya inisiatif ini akan membuka peluang untuk ke lebih banyak kawasan di masa depan, terutamanya dengan Aberystwyth University serta rangkaian mereka terutama di UK,” katanya.
MoU itu dimetarai bagi meneroka kerjasama dalam pertukaran pelajar dan mobiliti; penyelidikan dan penerbitan; pengajaran dan pembelajaran dan lain-lain. Antara disiplin yang disertakan adalah undang-undang, bioteknologi, sains dan teknologi serta kecerdasan buatan.
Usaha ini dimulakan dengan Fakulti Undang-Undang, Fakulti Sains & Teknologi, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat dan Institut Biologi Sistem.