UKM Juara Golf IPTA Tahun 2015
Laporan dan Gambar Oleh Rajpreet Kaur dan Edlyn J Lim (Pelajar-pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)
BANGI, 2 Disember 2015 – Pasukan Golf Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai juara dalam Kejohanan Golf Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kali ke-43 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 4 hari dari 7 Oktober sehingga 10 Oktober lalu.
Acara tahunan yang masuk tahun ke-43 turut sama melibatkan kakitangan gabungan akademik dan pentadbiran UKM yang berjaya merangkul kejayaan tahun ini.
Pengarah Pusat Sukan UKM, Prof Madya Dr Tajul Arifin Muhamad yang juga merupakan salah seorang peserta yang terlibat dalam kejohanan kali ini, berkata bukan senang untuk meraih takhta juara lebih-lebih lagi apabila melibatkan sukan golf.
“Pelbagai cabaran dan rintangan menjadi duri dalam perjalanan untuk menebus kemenangan. Namun semangat dan motivasi pasukan UKM berjaya mematikan segala unsur negatif dan melonjakkan unsur positif dalam diri masing-masing. Kejohanan Golf IPTA 2015 telah menarik ramai pencinta sukan golf untuk beraksi sepanjang tempoh, termasuk pencinta golf dari UKM sendiri,” katanya.
Pasukan UKM terdiri daripada 16 pemain, yang mana 8 merupakan tenaga akademik atau pensyarah dan selebihnya kakitangan sokongan.
Setiap pasukan yang menyertai kejohanan ini telah berentap di Cinta Sayang Golf and Country Club yang terletak di Sungai Petani, dan Havard Golf and Country Club di Gurun, Kedah.
“Setiap pemain telah berkorban masa untuk berlatih supaya sesi latihan yang lengkap dapat dilakukan sebelum bertanding. Para pensyarah juga perlu memastikan mereka tidak mengabaikan tanggungjawab untuk pergi ke kuliah dan bijak membahagikan masa masing-masing,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, sesi pemilihan pemain telah dijalankan sebanyak enam kali untuk memilih 16 pemain golf terbaik.
Oleh kerana kekangan masa yang tidak dapat dielakkan, sesi latihan telah diadakan seminggu sebelum kejohanan.
Namun demikian, oleh kerana kebanyakan pemain adalah ahli Kelab Golf Danau, UKM maka proses persediaan bagi pemain dan latihan menjadi lebih mudah pada kali ini.