UKM Juara Pesta Pantun Integrasi Budaya IPTA 2017
Oleh Abdul Raai Osman
Foto Abdul Raai Osman
BANGI, 21 Februari 2017 – Pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi Johan dalam Pesta Pantun Integrasi Budaya IPTA 2017 mengalahkan pasukan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 11 Februari 2017 di Panggung Seni UKM baru-baru ini.
Pasukan UKM menerima hadiah wang tunai RM1500.00, sijil dan piala pusingan manakala UIAM menerima hadiah RM1000.00 sijil dan hadiah iringan.
Sementara itu, pasukan dari Universiti Teknologi MARA (UITM) mendapat tempat ketiga dengan hadiah RM700.00, sijil dan hadiah iringan.
Pemantun terbaik pada pertandingan akhir tersebut jatuh kepada Anis Amizah dari UIAM sementara Azahari Johari dari UIAM turut dipilih sebagai pemantun terbaik keseluruhan.
Anugerah Pemantun Harapan pula telah dinobatkan kepada Mohd Hafizul Abd Razak dari UiTM.
Kesemua mereka menerima hadiah plak dan iringan.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah.
Hadir sama, Pengetua Kolej Ibu Zain, Anuar Ahmad dan Ketua Pengarah pesta pantun, Norsyafikah Idayu Idris.
Prof. Imran dalam ucapan penutupnya berkata, kemampuan berpantun biasanya amat dihargai dan dipandang tinggi kerana ia adalah warisan yang tinggi nilai estetikanya yang perlu dipelihara dan diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat.
Pesta pantun ini telah dianjurkan oleh Kolej Ibu Zain UKM dengan kerjasama pihak PESAMA serta Pusat Kebudayaan UKM.