UKM Kerjasama Dengan Yayasan Budi Penyayang Latih Fisioterapi Tempatan
Oleh Radzuan Ghazali
Foto Ikhwan Hashim
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi UNIPEQ Sdn Bhd, anak syarikat kepada Holdings Sdn Bhd mengorak langkah dengan bekerjasama dengan Yayasan Budi Penyayang (YBP) bagi menyediakan latihan terapi lymphermeda kepada pengamal fisioterapi di Malaysia.
Sehubungan dengan itu, satu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara UKM telah berlangsung di Puri Pujangga pada 26 Ogos lalu dengan UNIPEQ diwakili oleh Pengurus Besarnya Faizal Sa’aidin manakala YBP oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Leela Mohd Ali.
Hadir sama menyaksikan MoA itu, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof Dr Mohammad Kasim dan Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan, Che Ruhani Che Jaafar.
Terdahulu, Prof Dato’ Imran Ho dalam ucapannya berkata, kerjasama dengan YBP telah lama diadakan khususnya dalam penubuhan Tadika Tutur dan Kelab Penyayang sejak tahun 1994.
Katanya, kerjasama dua belah pihak menekankan kepada latihan terapi berkenaan untuk mereka yang berkelayakan sebagai satu kerjaya fisioterapi dan membina satu modul latihan terapi lymphermeda yang boleh digunakan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara ASEAN.
Beliau berkata, kerjasama seumpama ini dapat membentuk terapi tempatan betaraf antarabangsa dengan pendekatan baru kepada masyarakat terhadap supaya dapat menambah kesedaran masyarakat terhadap penyakit ini yang tidak menerima perhatian sewajarnya.
Malah katanya, kerjasama sedemikian dapat memberi kesedaran tentang penyakit dan membawa kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif untuk menangani masalaag berkaitan penyakit lymphermeda.
Sementara itu, Dato’ Leela dalam ucapannya berkata, latihan kepada fisioterapi ini dapat mengeluarkan 80 terapis tempatan berkelayakan di peringkat awalan dan lanjutan menerusi perjanjian kedua belah pihak.
Menurutnya, YBP telah memperkenalkan latihan terapi lympherdema kepada fisioterapi tempatan sejak tahu 2007 hasil gabungan dengan Klose Tranning and Consulting (KTC) dari Amerika Syarikat yang diiktiraf sebagai badan pakar dalam latihan lympherdema dari Lympherdema Assosiation Or North America.
Katanya, tiga buah pusat kanser beroperasi dalam memberikan latihan ini iaitu di Hospital Putrajaya, Institut Kanser dan di Taman Equine berdekatan dengan pejabat YBP.
“Sudah tiba masanya YBP setelah 12 tahun memberikan latihan terapi lympherdema kepada pengamal fisioterapi di Malaysia, YBP bersedia untuk bergabung dengan institusi tempatan untuk menyampaikan latihan terapi ini.
UNIPEQ UKM satu-satunya yang menyahut seruan ini dan kami berasa tepat pada masanya untuk bersama-sama menyediakan modul latihan yang bersesuaian untuk pesakit terapi lympherdema dan untuk kebajikan dan kesejahteran masyarakat di negara ini”, jelas beliau.