UKM Kerjasama Pelbagai Bidang Dengan 16 Institusi Indonesia

02
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

JAKARTA, INDONESIA, 20 Nov 2015 –Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memperluaskan kerjasama bersama 15 Institusi Pengajian Tinggi di Indonesia serta  Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi (BPPT).

Kerjasama itu dijalin melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara UKM dengan 16 Institusi tersebut, oleh Naib-Canselor UKM  Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan rektor-rektor serta para wakil rektor institusi pendidikan tinggi di Indonesia.

Prof Noor Azlan berkata MoU tersebut adalah bagi mewujudkan peluang pelajar Indonesia melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran di UKM, meningkatkan kepakaran dan modal insan, pertukaran pensyarah dan pelajar, penelitian bersama, penerbitan dan memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Malaysia-Indonesia.

“Sehingga kini, jalinan kerjasama antara UKM dengan pemerintah dan institusi pendidikan tinggi di Indonesia dilaksanakan dalam pelbagai aspek. Antaranya melalui persidangan, forum, diskusi, pertukaran pensyarah, lawatan, penelitian bersama dan sebagainya,” katanya kepada media pada Majlis MoU tersebut.

Beliau berkata setakat ini terdapat 80 kerjasama telah ditandatangani dalam bentuk Letter of Intent (Lol), 23 MoU dan empat Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dengan pemerintah dan pelbagai institusi di Indonesia.

“Hubungan kerjasama ini diperkukuhkan lagi apabila terdapat 13 orang ahli akademik dari Indonesia pada masa ini sedang berkhidmat di UKM,” tambahnya.

Prof Noor Azlan berkata UKM kini menjadi Universiti Penyelidikan atau Research University (RU) yang memberi tumpuan intensif dalam penghasilan penyelidikan yang bermutu tinggi.

“Ini disusuli dengan penerbitan-penerbitan dan input-input kepada sesuatu polisi untuk menyelesaikan masalah bersama,” ujarnya.

Beliau berkata MoU yang ditandatangani itu melibatkan empat fakulti dan institut di UKM iaitu Pusat Siswazah, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Fakulti Pengajian Islam dan Institut Sel Fuel.

Beliau memberitahu bahawa sekarang ini jumlah pelajar pascasiswazah UKM adalah seramai 11,169 orang dan 333 orang daripadanya adalah pelajar pascasiswazah dari Indonesia manakala bilangan alumni dari Indonesia sahaja berjumlah melebihi 3,000 orang setakat ini.

Katanya beliau berharap agar kerjasama itu akan menjadi wadah kepada usaha untuk meningkatkan percambahan ilmu yang dapat memberi impak positif kepada komuniti di kedua-dua negara dan juga negara serantau.

Institut pendidikan tinggi di Indonesia yang terlibat dengan MoU itu adalah Universitas Malikussaleh (UNIMAL), Universitas Sumatera Utara (USU), Universitas Islam Negeri Sumatera Utara (UINSU), Universitas Sriwijaya (UNSRI), Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Universitas Medan Area (UMA) dan Univeritas Muslim Nusantara (UMN) Al Washliyah.

Universiti lain adalah Akademi Teknik Indonesia Cut Meutia (ATICM), Universitas Bung Hatta (UBH), Universitas Putra Indonesia “YPYK” Padang, Universitas Serang Raya (UNISERA), Universitas Mercu Buana (UMB), STIE Bisnis Indonesia (STIEBI), Universitas 17 Agustus 1945 Cirebon (UNTAG) dan Universitas Islam Indonesia (UII).

Majlis MoU itu juga turut disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Dato’ Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Zahrain berkata kerjasama akademik yang dilakukan oleh UKM dengan institusi pendidikan tinggi di Indonesia adalah kunci bagi kedua-dua negara menguatkan hubungan dan merangsang kemajuan di rantau ini.

“Kerjasama akademik bagi kedua-dua negara telah lama dijalankan. Kini terdapat kira-kira 15,000 pelajar Indonesia di Malaysia dan kira-kira 5,000 pelajar Malaysia belajar di negara ini,” katanya.

Beliau berkata apa yang penting sekarang ini adalah platform untuk menyelaraskan usaha-usaha bagi mencapai agenda ini.

“Agenda ini adalah untuk menghasilkan persefahaman antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang dan cara yang terbaik adalah melalui bidang akademik,” katanya.ukmnewsportal-bm
01

04

05

06

07

08

09

03