UKM Lahirkan Alumni Berkualiti Sepanjang 51 Tahun Penubuhan
Oleh Nur Batrisyia
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 1 Jun 2021 – UKM telah melahirkan lebih 200,000 graduan yang berkualiti dalam pelbagai bidang samada dalam sektor kerajaan mahupun swasta sepanjang 51 Tahun penubuhannya.
Pengerusi Lembanga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar berkata walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, UKM berbangga kerana barisan hadapan negara turut dibarisi oleh pakar perubatan kelahiran UKM.
Menurutnya lagi, lebih 11,000 graduan perubatan telah dilahirkan oleh universiti ini dan merupakan graduan perubatan teramai yang dilahirkan di Malaysia.
“Antara alumni Fakulti Perubatan UKM termasuklah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim,” katanya.
Tambahnya lagi, selain bidang perubatan ramai Alumni UKM kini berkhidmat dalam pelbagai sektor lain seperti Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Akauntan Negara Datuk Dr Yacob Mustafa, Usahawan Dato’ Hussamuddin Yaacob, Naib Presiden Eksekutif Kanan Tencent Holdings, Lau Seng Yee dan Penasihat The Star Media Group, Dato’ Seri Wong Chun Wai.
“UKM juga telah banyak mempelopori kajian dalam pelbagai bidang termasuklah dalam terapi perubatan sel stem, inovasi reka bentuk kaki palsu, inovasi varieti tumbuhan baru, peranti mikroelektromekanikal, teknologi tenaga dan pengurusan alam sekitar lestari.
“Kejayaan UKM pada hari ini adalah kejayaan semua pihak dan saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga UKM yang berganding bahu meningkatkan kecemerlangan UKM,” katanya.
Beliau berkata walaupun dalam suasana pademik COVID 19 dan norma baharu ini, UKM juga tidak lari dalam menghadapi cabaran dan isu-isu baharu yang melingkungi bidang pendidikan tinggi yang tidak pernah dijangka.
“UKM perlu memastikan kelangsungan kecemerlangan agar dapat bertahan dan relevan dalam mengharungi suasana yang baharu ini.
“Saya yakin hasrat ini akan dapat dicapai dengan adanya staf akademik dan pengurusan yang komited dalam melaksanakan tugas mendidik anak bangsa dan meningkatkan kecemerlangan universiti ini,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berharap imbasan kembali kejayaan UKM dalam tempoh 51 tahun yang lepas menjadi inspirasi kepada warga universiti dalam merangka hala tuju UKM untuk tahun yang akan datang.
“Dengan asas yang kukuh dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, dan khidmat, saya yakin UKM akan terus berjaya mengharungi segala cabaran dan berdiri megah sebagai universiti terkemuka dunia,” katanya.
Pada majlis itu juga turut diadakan pelancaran Video 51 Tahun UKM, Buku UKM dalam Norma Baharu COVID-19, Buku Lakar dan Lukis 5 Dasawarsa dan Koleksi 1000 Pantun.
Majlis yang yang penuh bersejarah itu turut meraikan penjualan Duit Syiling Peringatan sempena Sambutan Jubli Emas yang telah dilancarkan secara rasminya pada 21 Ogos 2020 yang lalu. Duit syiling ini akan mula dijual secara dalam talian melalui pautan ukmshop.ukm.my atau boleh dibeli di Kaunter Unit Kutipan Hasil, Bendahari.