UKM Laksana Pelan Strategik Antarabangsa Untuk Tenaga Solar
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 12 Mei 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Penyelidikan Tenaga Solar (SERI) bersama MTE Corporation Sdn Bhd (MTE) membuat perancangan strategik dengan mengadakan kerjasama dengan Institut Perindustrian Teknologi Korea (KITECH) bagi menjalankan program kerjasama antarabangsa dalam membangunkan teknologi tenaga suria untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata kerjasama ini akan melibatkan kerajaan, ahli akademik dan pihak industri untuk kolaborasi bagi memastikan Malaysia dan Korea Selatan mendapat manfaat dalam jangka panjang.
“Kekuatan kerjasama di antara ahli akademik dan industri di peringkat antarabangsa boleh memberi kesan yang besar pada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Korea Selatan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM, MTE dan KITECH di sini, semalam.
Beliau berkata kerjasama bersama antara Malaysia dan Korea Selatan akan dapat menghasilkan kualiti produk yang lebih baik dan bertaraf dunia.
“SERI mempunyai kepakaran dan pengetahuan khas dalam bidang ini dan setiap tahun, mereka tidak pernah gagal untuk memenangi salah satu anugerah berprestij antarabangsa. Jadi, KITECH dan MTE Corporation, anda telah memilih rakan kongsi yang tepat di UKM malah di Malaysia dan Asia.
“Kita perlu bekerja keras dan saya berharap kerjasama khas ini akan memberi kesan yang baik dalam industri teknologi dan kerjasama ini diharap akan dapat diteruskan ke generasi akan datang,” katanya.
Prof Mazlin berkata hubungan ini akan memastikan penerusan generasi berasaskan produktiviti tenaga solar akan membawa ia ke rangkaian antarabangsa yang lebih luas selaras dengan penjenamaan UKM dan KITECH sebagai Pusat Penyelidikan bertaraf antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah Urusan KITECH, Uoo-Chang Jung dalam ucapan ringkas beliau berharap agar mereka dapat berbincang dengan lebih terperinci tentang kerjasama dengan kedua-dua negara.
“UKM adalah Universiti yang sangat terkenal di Malaysia dan mereka sangat berpengalaman dalam bidang ini (teknologi solar). Jadi kita mengambil kesempatan ini untuk membuat kerjasama dengan UKM dan berharap bahawa kita boleh mendapatkan lebih banyak peluang untuk terus bekerja dalam industri teknologi ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MTE Corporation Sdn Bhd, Dr Patrick Chong berkata kerjasama di antara Malaysia dan Korea Selatan akan membolehkan kedua-dua negara melakukan penyelidikan dan pembangunan tentang tenaga solar.
Kata Dr Chong, Malaysia sedang melangkah ke arah menjadi pusat pengeluaran tenaga solar di kalangan negara-negara Asia di bawah pengaruh positif tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.
“Kita perlu menyediakan keperluan untuk sistem elektrik dari segi teknikal dan juga R&D dan kita juga dapat melihat bahawa Malaysia mempunyai perkilangan solar terbesar di Kuching, Ipoh dan Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya, tenaga solar adalah potensi terbaik untuk persediaan manusia untuk jangka panjang pada masa depan.
“Kami memberi galakan kepada semua Universiti di seluruh Malaysia untuk menyediakan kursus khas (tenaga solar) kepada pelajar-pelajar untuk masa depan negara selain memberi peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya.