UKM Lancar Plat Kenderaan Khas


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 November 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan plat kenderaan khas ‘UKM’ sempena sambutan ulang tahun UKM ke-50 iaitu Sambutan Jubli Emas yang akan disambut pada 18 Mei 2020.

Untuk pelancaran plat khas ini, UKM menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang telah mendapat kelulusan rasmi dari pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meneruskan penjualan plat kenderaan tersebut.

Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UKM juga melancarkan sistem bidaan atas talian iaitu Ubida, yang merupakan sistem bidaan universiti yang pertama di Malaysia, sesuai dengan JPJ untuk proses penjualan nombor plat yang lebih telus dan cekap.

“Sistem UBida bakal memberikan pengalaman bidaan atas talian yang setaraf dengan sistem eBid JPJ yang dilengkapi dengan proses pembayaran atas talian, bagi memudahkan para pembida membuat bayaran secara selamat dan terkawal.

“UKM juga bakal menawarkan perkhidmatan sistem ini kepada mana-mana institusi pengajian tinggi yang berminat, bagi membantu usaha-usaha penjanaan. Laman aktif sistem ini boleh dicapai di ubida.ukm.my,” katanya.

Tambahnya, hasil yang terkumpul dari penjualan plat kenderaan itu nanti akan digunakan untuk  menambahbaik kualiti penyelidikan dan pembangunan UKM selari dengan kehendak dan objektif yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Plat kenderaan khas UKM itu adalah keluaran terhad, hanya akan dijual dalam tempoh tiga tahun bermula bidaan pada 8 Januari 2020. Nombor plat khas tersebut akan bermula dari UKM 1 hingga UKM 9999.

Prof Ir Dr Mohd Hamdi berkata, penjualan plat tersebut juga bertujuan menyediakan suatu peringatan kepada warga dan alumni UKM dalam menerapkan semangat kebanggaan dan jati diri terhadap UKM.

“UKM amat mengharapkan sokongan alumni bagi memastikan penjualan plat kederaan ini mendapat sambutan yang menyeluruh dari para alumni,” katanya.