UKM Lancar Portal Give2UKM dan Tabung Naiktaraf Masjid Sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1438H
Oleh Nastura Nasir
Pix Abd Raai Osman, Ikhwan Hashim, Izwan Azman
BANGI, 29 Disember 2016 – Bersempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1438H, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan Portal Give2UKM sebagai salah satu inisiatif memperkukuhkan sumber kewangan universiti.
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali yang melancarkan portal ini berkata, program ‘Sumbangan kepada UKM’ ini akan memudahkan orang awam, para alumni dan warga UKM menyampaikan sumbangan secara atas talian melalui url – give2ukm.ukm.my.
Dalam majlis yang sama, Naib Canselor turut melancarkan Tabung menaiktaraf Prasaranan Masjid Universiti.
Warga UKM dan masyarakat luar adalah dialu-alukan menyumbang dan berinfaq melalui tabung ini bagi membiayai kerja-kerja naiktaraf masjid universiti yang menjadi mercu tanda universiti.
“UKM mensasarkan kutipan sebanyak RM2 juta bagi membaikpulih bumbung masjid; pengindahan ruang mimbar dan mihrab masjid; membaikpulih tandas; pembinaan kolah air wudhu’, dan pembinaan bilik seminar atau ruang auditorium,” tambahnya.
Majlis sambutan Maulidur Rasul kali ini memperlihatkan kelainan dengan menampilkan sesi tuntas bicara berdasarkan tema-tema yang diberi iaitu Islam Kontemporari, Intergrasi ASEAN, Pemerkasaan B40, Pengukuhan STEM, Malaysia Sihat Sejahtera dan Malaysia Lestari.