UKM-Maxis Kukuhkan Kerjasama Strategik Melalui Pembelajaran Digital
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 18 Jun 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Maxis Berhad terus mengukuhkan kerjasama strategik dalam membangunkan isi kandungan Maxis eKelas (Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains), iaitu projek tanggungjawab sosial dan inisiatif pembelajaran digital Maxis.
Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, kerjasama strategik itu bermatlamat untuk meningkatkan prestasi akademik para pelajar dalam komuniti luar bandar.
“Sebagai universiti kebangsaan, UKM bertekad untuk memastikan kepakaran warga UKM dalam penyelidikan, khidmat rundingan dan sebagainya dapat disumbangkan kembali kepada masyarakat dengan hasrat UKM untuk memasyarakatakan penyelidikan yang dijalankan,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara UKM dan Maxis Berhad di Bilik Majlis, Bangunan Pentadbiran baru-baru ini.
UKM diwakili oleh Prof Ir Dr Mohd Hamdi manakala Maxis oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut. Hadir sama, Pengerusi Maxis Berhad, Raja Tan Sri Arshad Raja Uda, Timbalan Naib Canselor (Hall-ehwal jaringan Industri dan Masyarakat) UKM, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah dan Pengarah Pusat Transformasi dan Jaringan Komuniti UKM, Prof Dato’ Dr Rokiah Omar.
Beliau seterusnya berharap kolaborasi antara UKM dan Maxis akan dapat menyediakan bahan pembelajaran yang dapat menarik lebih ramai pelajar sekolah menggunakan teknologi digital dalam proses pembelajaran.
Sementara itu, Pengerusi Maxis Berhad, Raja Tan Sri Arshad berkata, program komuniti Maxis itu adalah satu inisiatif untuk mengarusperdanakan pembelajaran digital kepada komuniti.
“Bermula pada tahun 2015, eKelas adalah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar dari komuniti luar bandar.
“Sebagai salah satu organisasi pendidikan terulung Negara, UKM adalah subject matter expert dalam pembelajaran dan inisiatif ini memberi ruang dan pendedahan kepada pelajar-pelajar UKM sendiri dalam membina pengalaman dalam bidang ini,” ujarnya.
Beliau berkata, fokus untuk projek tersebut adalah bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris untuk pelajar-pelajar Tahun 6 hingga Tingkatan 5.
“Setakat ini, lebih daripada 10,000 pelajar dari 72 Pusat Internet seluruh Malaysia telah berdaftar dengan portal eKelas dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
“Tahun ini, kami telah mencatat satu lagi pencapaian penting apabila kami menerima kelulusan dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KMP) yang mengiktirafkan eKelas sebagai satu inisiatif di bawah Program Imersif Tinggi KPM,” terangnya.
Portal eKelas mengandungi kandungan pembelajaran dalam bentuk video, nota, soalan-soalan kuiz yang berpandukan silibus kebangsaan dan juga user generated content dari pelajar-pelajar eKelas sendiri.