UKM-MDEC Jalin Kerjasama Jayakan Data Analisis Penjagaan Kesihatan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Februari 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menjalinkan kerjasama dalam menjayakan inisiatif Big Data Analitics in Healthcare untuk Gugusan Kesihatan UKM.

Kerjasama itu adalah salah satu inisiatif untuk projek Teknopolis Kesihatan UKM yang akan dilaksanakan di sekitar Pusat Perubatan UKM.

Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata inisiatif big data bertujuan untuk menggalakkan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga Gugusan Kesihatan UKM dan seterusnya menanam minat keusahawanan serta menjana pendapatan universiti.

Big Data Analytics dalam perkhidmatan kesihatan juga merupakan satu pendekatan terbaru dalam memacu inovasi penjagaan kesihatan.

“Kita semua dikelilingi oleh data dan cabaran kita ialah bagaimana untuk menyimpan semua data tersebut dengan lebih sistematik,” katanya.

Beliau berharap agar semua pihak di Gugusan Kesihatan, Institut Kecemerlangan, Kumpulan Penyelidikan dan semua individu dapat sama-sama menjayakan projek tersebut.

“Saya juga berharap inisiatif ini turut mendapat kerjasama dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Pusat Teknologi Kecerdasan Buatan(CAIT), Pusat Penyelidikan Pengurusan dan Teknologi Perisian (SOFTAM) dan kumpulan penyelidik yang lain sebagai pakar teknikal.

“Selain itu, saya juga berharap UKM akan dapat bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain sebagai rakan strategik untuk mempromosi dan memperkenalkan Projek Big Data ini kepada rakan kongsi niaga yang berpotensi,” katanya.

“Semoga kerjasama ini akan terus berkekalan dan diperluaskan lagi dalam bidang-bidang lain yang dapat memberi manfaat kepada UKM dan MDEC serta pihak berkepentingan dalam bidang kesihatan,” terangnya.