UKM Miliki Pusat Perniagaan Global dan Ekonomi Digital Pertama di Asia


Oleh Asmahanim Amir
Foto Mohammad Zukry Ahmad

BANGI, 9 Oktober 2018 – Pusat Perniagaan Global dan Ekonomi Digital (GLoBDE), yang ditubuhkan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah yang pertama di Asia, diwujudkan untuk menjana dan menggalakkan pengetahuan terkini dalam meningkatkan teknologi baru dan amalan terbaik dalam perniagaan global dan ekonomi digital.

Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof Dr Ishak Yussof berkata, GLoBDE yang ditubuhkan pada 1 Jun 2018 telah berkembang sebagai pusat penyelidikan dan latihan terkemuka di Malaysia, Asia dan antarabangsa.

“Fungsi pusat ini adalah mengadakan aktiviti seperti forum perkongsian pengetahuan, ceramah umum untuk menyatukan disiplin yang berbeza di seluruh universiti dan menjangkau komuniti perniagaan merentasi sektor GloBDE.

“Rangkaian lanjutan kami termasuklah pemimpin, pengamal dan pembuat dasar, iaitu dengan siapa kami yakin dalam membangun rangkaian penyelidikan berimpak tinggi.

Ini termasuklah pelajar pasca-siswazah yang memberi tumpuan kepada penyelidikan akademik yang berorientasikan penghasilan output,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pusat GloBDE, Pertukaran Dokumen Memorandum Perjajian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Siri Syarahan Umum 1/2018, baru-baru ini.

Pada majlis itu, UKM turut membuat pertukaran dokumen MoU dan MoA dengan Multimedia Development Corporation (MDEC), Sutherland Global Services, Eastreem dan AutoCount.

Pertukaran MoU dan MoA ini menunjukkan kekuatan komitmen dan sokongan kita kepada program GloBDE dan juga mengukuhkan kerjasama dengan pihak industri, katanya.

Prof Dr Ishak berkata, melalui MoU dan MoA ini, pihak industri akan dapat memperkayakan graduan dengan pengalaman kerja dalam mencapai matlamat untuk menghasilkan graduan yang cemerlang dengan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi di negara ini.