UKM MOOC Kini Miliki Fitur Gerbang Pembayaran
Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 24 Februari 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Massive Open Online Courses (MOOC) kini mengintegrasi fitur gerbang pembayaran atau payment gateway secara langsung dalam sistem UKMPay.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. ChM. Dr. Mohammad Kassim berkata, fitur ini merupakan suatu inisiatif untuk meneraju dan memacu pendigitalan pendidikan UKM selari dengan TERAS UKM yang menegaskan nilai kebitaraan dan prakarsa digital bagi pendidikan digital serta futuristik.
“Pelantar UKM MOOC dengan integrasi UKMPay ini diwujudkan bagi bertujuan memacu pengajaran dan pembelajaran bersifat aktif, digital, dan futuristik serta selari dengan agenda universiti untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan serta membudayakan penjanaan pendapatan yang mampan.
“Selari dengan dasar e- pembelajaran negara dan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi, UKM telah membangunkan pelbagai inisiatif dan prakarsa bagi pembudayaan pendidikan digital yang bersifat fleksibel, boleh lentur dan organik,” katanya ketika melancarkan UKM MOOC Integrasi UKMPay.
Tambahnya, jumlah kursus terkini yang berdaftar dengan UKM MOOC adalah sebanyak 136 kursus dengan lebih 1200 pelajar.
Majlis turut memberi pengiktirafan kepada fakulti-fakulti yang cemerlang pencapaiannya dalam pelaksanaan MOOC.
Fakulti Sains Kesihatan menerima penghargaan bagi kategori Bilangan Pendaftaran Pelajar Paling Tinggi Mengikut Fakulti.
Anugerah Bilangan MOOC Paling Tinggi Mengikut Fakulti pula dianugerahkan kepada Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan. Sementara itu, kategori Peratusan Penglibatan Aktif Pelajar Paling Tinggi pula dianugerahkan kepada program Masalah Pendengaran Kanak-Kanak.
Hadir sama, Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum UKM (Pengajaran-UKM), Prof. Ir. Dr. Ahmad Kamal Ariffin Mohd Ihsan; Timbalan Pengarah (Teknologi Pengajaran) Pusat Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum, Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Helmi Norman; dan dekan-dekan fakulti serta pengarah-pengarah PTj.