UKM Pakarunding, SERI-UKM dan JinKo Solar Technology Bekerjasama dalam Penyelidikan Tenaga Suria
Oleh Nur Batrisyia
Foto UKM Pakarunding
BANGI, 20 Mei 2021 – UKM Pakarunding Sdn. Bhd. (UKMP), Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) dan JinKo Solar Technology telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), baru-baru ini, bagi menjalankan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan melibatkan tenaga suria yang boleh dimanfaatkan kepada umum.
Antara projek yang sedang dijalankan bersama adalah Bertam Smart Energy City, iaitu projek yang melibatkan pembangunan hijau dan penjimatan tenaga di beberapa buah bangunan sekitar Bandar Bertam, Pulau Pinang.
Pengarah SERI UKM, Prof. Dato’ Dr. Kamaruzzaman Sopian berkata MoU itu akan dapat membuka jalan kerjasama yang lain dan akan menjadi platform baru kepada pelajar di UKM pada masa akan datang.
“Besar harapan kami agar kerjasama ini akan terus berlanjutan di masa akan datang terutamanya dalam membangunkan projek Bertam Smart Energy City. Ia merupakan satu langkah awal menuju status Penang Smart City seperti yang telah dirancangkan.
“Kami juga berharap dengan sokongan dari pihak JinKo Technology, semua projek yang telah dirancang dapat diteruskan selaras dengan saranan kerajaan yang kini membenarkan aktiviti perniagaan berjalan mengikut SOP yang telah ditetapkan,” ujar Prof. Dato’ Dr. Kamaruzzaman.
Menerusi kerjasama itu, banyak projek yang akan dijalankan secara bersama oleh ketiga-tiga organisai tersebut.
SERI dan JinKo turut bekerjasama dalam menjalankan kajian Hybrid Solar PV and Heat Pump System di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
Majlis MoU yang diadakan pada 10 April lalu telah dihadiri dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
UKMP yang merupakan anak syarikat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM akan mengurus mana-mana projek kerjasama pada masa akan datang. Manakala JinKo Technology pula adalah syarikat pengeluar panel solar terkemuka dan pastinya mampu memenuhi keperluan pasaran tempatan dan antarabangsa.