UKM Perkasa Nilai Prihatin dan Konsep Keluarga Malaysia


Oleh Azianura Hani Shaari
Pusat Komunikasi Korporat UKM

Nilai Prihatin dan Konsep Keluarga Malaysia

Usaha memasyarakatkan universiti merupakan satu agenda penting kepada semua institusi pengajian tinggi di Malaysia. Universiti seharusnya menjadi medan terbuka kepada segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama berkongsi ilmu serta kemahiran yang boleh memberi manfaat kepada semua.

Sesuai dengan misi penubuhannya sebagai sebuah universiti watan, UKM sentiasa menekankan kebitaraan prihatin ini sebagai salah satu kerangka asas di dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatannya.

Nilai prihatin di Malaysia adalah bersifat sejagat, meliputi kesepaduan semua kaum serta mendasari proses penyatupaduan kaum yang sentiasa kita pertahankan sehingga ke hari ini. Nilai prihatin ini juga melambangkan kebersamaan semua bangsa.

Jika nilai prihatin ini mahu dipadankan dengan mana-mana konsep sedia ada yang diguna pakai pada hari ini, ianya benar-benar seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang baru diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Inilah juga antara pentafsiran watan yang turut diketengahkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beberapa elemen yang bersesuaian kemudiannya diterjemahkan melalui tafsiran nilai prihatin yang bergerak seiringan dengan konsep Keluarga Malaysia. Elemen-elemen tersebut adalah kepercayaan terhadap keharmonian, rasa tanggungjawab, hormat-menghormati serta nilai kasih sayang.

Justeru, pelbagai aktiviti seringkali dilaksanakan bagi memupuk serta memperkasakan nilai-nilai ini dalam kalangan warga universiti, khususnya para mahasiswa serta seluruh masyarakat di Malaysia.

Nilai Kekeluargaan Pupuk Kemenjadian Mahasiswa

Menyedari betapa pentingnya nilai kekeluargaan serta elemen keperihatinan dalam memupuk kemenjadian mahasiswa, UKM, melalui Program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin yang dijalankan baru-baru ini, telah mengambil inisiatif untuk menyantuni para mahasiswa daripada kumpulan B40 dalam usaha membantu mereka menghadapi suasana pembelajaran norma baharu yang sangat mencabar ini.

Justeru, lawatan ke beberapa buah rumah mahasiswa yang tinggal di sekitar Parit Sulong, Batu Pahat, Johor telah dilaksanakan seminggu sebelum semester baru dibuka, bagi memastikan mereka dapat melakukan persediaan pembelajaran yang secukupnya.

Turut hadir dalam lawatan ini adalah Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad serta YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman, Naib Canselor UKM.  Naib Canselor UKM.

Menurut YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman, nilai keperihatinan berupaya memupuk kemenjadian mahasiswa melalui sokongan moral serta keperluan emosi yang dipenuhi. Nilai keperihatinan bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi, tetapi boleh dibina dalam diri seseorang individu melalui amalan baik yang boleh dicontohi.

Keperihatinan serta nilai empati yang ditekankan oleh UKM seharusnya menjadi suatu landasan di dalam membentuk nilai kekeluargaan dalam diri mahasiswa. Kesejahteraan serta kejayaan seseorang mahasiswa akan dapat dicapai dengan lebih mudah dan berkesan melalui suasana pembelajaran yang penuh dengan nilai empati, perpaduan, kasih sayang serta semangat kekeluargaan tak kira bangsa atau agama.

Antara bantuan yang disalurkan ketika lawatan adalah komputer riba, wang saku serta keperluan pembelajaran daripada pihak UKM; selain kata-kata nasihat yang membakar semangat.

Buat Tugasan Guna Telefon Bimbit

Sementara itu, salah sorang penerima bantuan yang dikenali sebagai Lee Hui Ting, melahirkan keterujaan serta penghargaan kepada pihak UKM di atas kunjungan Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi serta pihak pengurusan tertinggi UKM ke rumahnya.  Bantuan yang diterima, ujarnya, menjadi pendorong untuknya belajar dengan lebih tekun serta mencapai kejayaan yang cemerlang di dalam semua peperiksaan. Mahasiswa yang sedang mengikuti program Asasi Pintar UKM ini bertekad untuk menamatkan program asasi yang sedang diikutinya dengan cemerlang.

Seorang lagi penerima bantuan, Nurkamalia Binti Nor Rahim, pelajar daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM berasa begitu gementar kerana tidak pernah menduga akan menerima kunjungan yang dirasakan begitu istimewa dan bermakna.

Ujar Nurkamalia, komputer riba lama yang selama ini digunakannya sering mengalami kerosakan dan kini sudah tidak lagi berfungsi. Akibatnya, pelajar tersebut terpaksa menjalani pembelajaran dalam talian serta menyiapkan semua tugasan yang diberikan oleh pensyarah dengan menggunakan telefon bimbit sahaja. Justeru, bantuan komputer riba yang diterima seakan rahmat yang tidak terduga.

Nurkamalia juga mengakui bahawa sokongan yang diterima telah membakar semangatnya untuk memperbaiki keputusan peperiksaan sedia ada. Pelajar ini turut menyatakan keazamannya untuk memperoleh Anugerah Dekan pada semester yang akan datang.

Semangat perpaduan serta nilai kebersamaan seharusnya menjadi landasan kepada pembangunan sesebuah masyarakat. Semoga nilai prihatin serta kekeluargaan yang mendasari naratif baharu UKM ini mampu membudayakan kecemerlangan universiti untuk menjadi yang terbaik serta terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.