UKM Perkenal Varieti Baharu Beras Putih Berkualiti Tinggi, Inovasi Pertama di Malaysia Kacuk Padi Liar dan Padi Tempatan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

SEMANGGOL, 5 Mac 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah dalam dalam dunia penyelidikan beras dengan memperkenalkan varieti baharu beras putih yang lebih berkualiti dan tahan lasak, yang menggunakan inovasi baharu melalui proses kacukan spesies padi liar dan padi tempatan yang pertama di Malaysia.

Proses tersebut adalah proses kacukan antara padi tempatan berkualiti tinggi iaitu Oryza sativa dan padi liar Oryza rufipogon yang diperoleh dari International Rice Research Institute (IRRI) di Filipina, melalui pendebungaan terkawal.

Penyelidikan yang dijalankan selama 16 tahun oleh penyelidik UKM, Prof Dr Wickineswari Ratnam dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) bersama bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Abdullah Md Zain telah mendapati hasil tuaian padi varieti tempatan dapat ditingkatkan sebanyak 20 peratus menggunakan gen yang terdapat dalam spesies padi liar.

Prof Dr Wickineswari berkata, spesies padi liar itu mempunyai kemampuan dalam meningkatkan ciri seperti ketahanan kepada banjir, penyakit, serangan perosak dan peningkatan hasil.

“Kajian mendapati UKMRC-2 boleh menghasilkan beras putih sebanyak 12 tan per hektar dan tahan penyakit, terutamanya penyakit karah daun.  Anak pokok UKMRC-2 dapat hidup dengan baik walaupun terendam dalam banjir selama 14 hari. Kualiti hasil beras juga adalah baik dengan panjang beras adalah 3.5mm,” jelas beliau.

Bagi UKMRC-8, beliau berkata, hasil yang diperoleh untuk satu hektar tanaman adalah 14 tan beras putih dengan tahap beras hancur yang rendah.

“Anak pokok UKMRC-8 juga dapat hidup dengan baik walaupun ia terendam selama 14 hari dalam banjir, dan panjang satu biji beras putih UKMRC-8 ialah 3.68mm, iaitu sederhana panjang jika dibandingkan dengan beras biasa yang ada di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, beras putih UKMRC-2 dan UKMRC-8 mempunyai tahap kanji yang rendah dan apabila dimasak ia  tidak terlalu melekit dan mudah terurai.

Kedua-dua varieti beras itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk dipasarkan kepada petani.

Sementara itu, petani yang mengusahakan padi UKMRC-2 dan UKMRC-8, Khairul Abdul Rahman berkata hasil yang diperolehi untuk kedua-dua varieti ini adalah lebih banyak berbanding padi biasa yang diusahakannya sebelum ini.

“Kedua-dua varieti ini (UKMRC-2 dan UKMRC-8) lebih mudah dijaga, kerana proses penanamannya lebih mudah malah saya tidak perlu untuk mengeluarkan air dari petak sawah kerana benih padi ini mampu untuk terus tumbuh dalam air,” katanya.

Beliau menjelaskan, tempoh matang untuk kedua-dua varieti itu juga agak cepat iaitu antara 105 hari hingga 110 hari.

“UKMRC-2 dan UKMRC-8 lebih tahan lasak dan tahan penyakit. Saya bercadang untuk menanam kedua-dua varieti padi UKM untuk lapan hektar sawah yang saya miliki,” katanya yang telah berkecimpung dalam bidang penanaman padi selama 12 tahun.

Kajian yang dijalankan untuk meningkatkan hasil tanaman padi negara itu adalah kerjasama antara UKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui geran sebanyak RM3 juta.