UKM Peroleh Sijil Audit Bersih 16 Tahun Berturut-turut
Oleh Alyani Azhar
Foto Raai
BANGI, 25 Julai 2017– Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperoleh Sijil Audit Bersih selama 16 tahun berturut-turut sehingga tahun 2016 dalam penyediaan laporan kewangan tahunan.
Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata UKM amat berbangga dengan pencapaian itu dan Jabatan Bendahari telah memastikan tadbir urus kewangan yang cekap terus terpelihara.
“Dengan pengiktirafan tersebut, UKM kini sudah terkehadapan dalam memberi perkhidmatan dan pengurusan kewangan yang berkualiti,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Syarahan Kepimpinan ‘Akauntabiliti Dalam Kepimpinan Universiti’ baru-baru ini.
Syarahan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Audit Negara Malaysia, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.
Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan berkata dalam keghairahan merialisasikan agenda menjana pendapatan universiti, ia haruslah selari dengan undang-undang, peraturan serta tatacara yang berkuat kuasa.
“Tindakan setiap warga UKM perlulah sebaik-baiknya pada piawaian integriti tertinggi, baik dalam membuat keputusan ataupun tindakan.
“Dengan cara ‘membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul’ serta saling menegur, saya percaya kelemahan dan kesilapan tindakan akan dapat diatasi, sekaligus memupuk budaya kerja berprestasi tinggi dalam UKM,” jelasnya.
Katanya UKM komited dan serius dalam usaha membudayakan integriti pada tahap tertinggi disegenap fungsi dan peringkat dalam UKM.
“Organisasi berkait rapat dengan intergriti, moral dan akauntabiliti pemimpinnya. Ketua jabatan harus pantau, peduli dan tunjuk reputasi yang baik untuk diteladani supaya isu penyelewangan dapat dielakkan di dalam organisasi,” tegasnya.
Syarahan yang dianjurkan oleh Profesional-UKM turut dihadir oleh Timbalan Naib Canselor Hal- ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahman, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah dan Pengarah Profesional-UKM, Prof Madya Dr Rohayu Abdul Ghani.