UKM-Politeknik Negeri Medan Jalin Kerjasama
Oleh Nadia Sapuan
Foto Abd Raai Osman
BANGI, 21 APRIL 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama dengan Politeknik Negeri Medan, Indonesia, dalam bidang pendidikan melalui satu surat hasrat (LoI) yang ditandatangani baru-baru ini.
Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Prof Dr Siti Masrinda Tasirin berkata kerjasama yang dimeterai antara UKM dan Politeknik Negeri Medan dicapai melalui aktiviti penerbitan dan penyelidikan bersama, di antara kedua-dua institusi.
“Kerjasama ini dapat dicapai apabila penerbitan bersama dilaksanakan di mana kita mendapat hak bersama apabila penyelidik kita menerbitkan penulisan mereka di jurnal-jurnal terkemuka seperti di ISI dan Scopus,” katanya semasa majlis Menandatangani LoI di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, melalui aktiviti seperti itu kedua-dua universiti mendapat manfaat yang sama dan sekaligus dapat menaikkan nama dan ranking UKM dan universiti rakan kerjasama di Indonesia melalui hasil penerbitan yang sama.
Sementara itu, Wakil Pengarah IV Bidang Kerjasama, Politeknik Negeri Medan, Ir Berta Br Ginting berkata tujuan menjalin kerjasama bersama UKM adalah untuk berkongsi ilmu dan hasil penyelidikan bersama dalam bidang yang telah dipersetujui.
“Kita memilih UKM kerana universiti ini melaksanakan kegiatan akademik atau pembelajaran yang boleh membawa Politeknik Negeri Medan untuk maju ke hadapan,” katanya.
Katanya, beliau turut berharap kerjasama di antara kedua-dua universiti itu akan terus kekal berterusan di masa akan datang.