UKM Prihatin Bantu Pelajar UMP Jalani Saringan Kesihatan


Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Pusat Hubungan Antarabangsa

BANGI, 1 April 2020 – Enam pelajar iaitu tiga dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan tiga dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang mengikuti program mobiliti pelajar di Universitas Indonesia telah selamat tiba di UKM dan dikuarantin selama 14 hari di Kolej Dato’ Onn (KDO).

Keenam-enam mereka telah mengikuti program mobiliti sejak Februari lepas dan sepatutnya berakhir pada Jun ini, namun tempoh itu telah dipendekkan berikutan penularan virus COVID-19.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, para pelajar ini diambil dengan menggunakan bas UKM. Kesemua mereka melalui proses sanitasi oleh petugas UKM yang lengkap berpakaian PPE (personal protective equipment), pakaian untuk perlindungan diri terhadap risiko kesihatan dan keselamatan sebagai langkah keselamatan.

Apabila tiba di UKM, semua pelajar itu menjalani saringan kesihatan di kaunter saringan COVID-19 Pusat Kesihatan Universiti (PKU) di Kolej Ibu Zain. PKU turut melakukan proses sanitasi dan pembasmian kuman terhadap semua barang yang dibawa oleh mereka bagi pencegahan penularan wabak COVID-19. Proses itu turut dilaksanakan terhadap bas UKM yang membawa pelajar dan UKM juga telah mengeluarkan garis panduan (SOP) yang perlu diikuti oleh setiap petugas dan pelajar yang baru pulang dari luar negara sebagai salah satu usaha UKM mambantu pencegahan penularan wabak COVID-19.

Dalam hal ini, UKM amat prihatin dalam membantu pelajar termasuk pelajar UMP yang sama-sama menjalani program mobiliti tersebut dengan membenarkan mereka menjalani kuarantin selama 14 hari di KDO, UKM bersama pelajar-pelajar lain.

Pelajar-pelajar UKM itu terdiri daripada seorang pelajar prasiswazah dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dua orang dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, manakala ketiga-tiga pelajar UMP adalah dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

UKM juga mengucapkan terima kasih kepada Education Malaysia Indonesia dan Universitas Indonesia yang telah memberikan bantuan serta sokongan kepada pelajar sepanjang mereka berada di sana.