UKM Rai Anak Yatim dan Masyarakat Orang Asli


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 28 Jun 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan anak-anak yatim dari Al-Ikhlas School for Rohingya Refugees, Selayang dan masyarakat Orang Asli dari Pos Gob, Gua Musang dan Sungai Buah, Dengkil dalam Majlis Sambutan Hari Raya UKM.

Pada majlis tersebut, UKM turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak dan UKM menerima sumbangan Zakat Korporat daripada Maybank Islamik sebanyak RM60,000.

Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, segala kegembiraan dan kemeriahan menyambut hari raya dapat dikongsi bersama anak-anak yatim dan juga masyarakat Orang Asli yang hadir.

“Saya juga berharap segala keprihatinan dan sumbangan yang diberikan kepada mereka sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Raya Peringkat UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), hari ini.

Beliau berkata UKM turut tidak melupakan penduduk asal Bangi yang telah meneroka dan membangunkan penempatan di kawasan Bangi sebelum penubuhan UKM pada 18 Mei 1970.

“Pada pagi ini kita bertuah kerana mereka yang sekarang menetap di Kampung Sungai Buah Dengkil dapat bersama-sama kita memeriahkan Jamuan Hari Raya ini.

“Saya berharap semua warga UKM terus mempamerkan semangat yang tinggi untuk meningkatkan kecemerlangan UKM. Semoga kemeriahan suasana hari raya ini terus menjadi medan untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan yang erat buat semua warga UKM,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Puan Sri, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan para pegawai kanan Universiti.